DATUK Seri Johari Abdul Ghani. FOTO Hairul Anuar Rahim
DATUK Seri Johari Abdul Ghani. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mahani Ishak


Kuala Lumpur: Kerajaan disarankan menetapkan jangka masa kepada syarikat asing yang berhasrat datang ke negara ini memulakan pengoperasian.

Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johani Ghani, berkata perkara itu bagi mengelakkan syarikat asing terbabit mengambil masa terlalu lama hingga ia tidak lagi sesuai dengan keadaan atau sistem percukaian semasa.

"Sebahagian daripada pelaburan langsung asing (FDI) ini, apabila pelabur datang, negara kita memberikan kelulusan insentif sebagai galakan melabur.

"Jadi melihat kepada suku tahun pertama tahun ini, hanya 9.8 bilion direalisasikan, sekali gus menunjukkan tempoh lama kerana nilai FDI RM63.3 bilion diluluskan.

"Jadi saya rasa kerajaan kena meletakkan jangka masa kepada syarikat asing berapa tempoh untuk mereka memulakan pengoperasian," katanya ketika mencelah penggulungan perbahasan Belanjawan 2024 oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat, hari ini.

Johari (BN-Titiwangsa) berkata, syarikat asing itu tidak 'memegang' kelulusan insentif tanpa mereka memulakan pengoperasian mahu projek pecah tanah.

"Mengambil contoh, mereka tidak boleh pegang kelulusan insentif itu tetapi tahun 2026, 2027 baru mula beroperasi, pada masa itu sistem percukaian kadang bertukar," katanya.

Sebagai menjawab pertanyaan Johari, Tengku Zafrul berkata, kelewatan pengoperasian itu disebabkan banyak syarikat menghadapi masalah untuk membeli tanah daripada peringkat kerajaan negeri, selain kekangan pandemik Covid-19 dua tahun lalu.

"Syarikat itu merayu Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan MIDA akan bawa kepada Jawatankuasa Pelaburan Kebangsaan (NCI) meminta melanjutkan tempoh insentif cukai dan insentif lain.

"Cuma pada pendapat saya, saya berbincang dengan MIDA dan NCI, jika tiada sebab kukuh kita tak boleh panjangkan insentif itu," katanya.

Bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini Malaysia menarik sejumlah RM132.6 bilion pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama.

Angka itu babitkan 52.2 peratus pelaburan langsung domestik (DDI), manakala FDI pada kadar 47.8 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 7:13 PM