LOKASI bawah Jambatan Tok Pasai, Kuala Kedah yang dipercayai menjadi tempat berurus niaga  dalam kalangan penagih. FOTO Zuliaty Zulkiffli
LOKASI bawah Jambatan Tok Pasai, Kuala Kedah yang dipercayai menjadi tempat berurus niaga dalam kalangan penagih. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Penduduk beberapa kawasan di Kuala Kedah bimbang dengan aktiviti penagihan dadah yang semakin berleluasa di tempat mereka termasuk kewujudan port panas untuk golongan itu melepak.

Lebih meresahkan apabila aktiviti penagihan yang mendorong masalah sosial lain terutama kecurian harta dan motosikal yang diletak di kawasan rumah.

Tinjauan mendapati lokasi terpencil dipenuhi semak menjadi pilihan warga penagih melepas gian kerana tersembunyi daripada pandangan ramai.

Penduduk, Normariatul Habsah Ibrahim, 53, berkata, antara kawasan yang dipercayai menjadi port penagih adalah di bawah Jambatan Tok Pasai, Pekan Kuala Kedah, Lorong Mayat, Kampung Tepi Laut, Kampung Tengah dan Taman Seri Pantai, kilang baja ikan selain laluan di Kampung Sematang Pinang.

Dakwanya, sebelum ini lokasi itu dijadikan tempat berjumpa tokan untuk membeli dadah dan melepaskan gian, namun kini mereka hanya berurus niaga di situ sebelum 'menikmatinya' di tempat lain.

NORMARIATUL Habsah  menunjukkan lokasi dipercayai menjadi port penagihan dadah di kawasan Kuala Kedah. FOTO Zuliaty Zulkiffli
NORMARIATUL Habsah menunjukkan lokasi dipercayai menjadi port penagihan dadah di kawasan Kuala Kedah. FOTO Zuliaty Zulkiffli

"Biasanya mereka jadikan rumah rakan atau yang orang dikenali sebagai port (menagih dadah) kerana bimbang dicekup polis.

"Walaupun banyak kali polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melakukan operasi namun kegiatan itu kembali aktif tidak lama kemudian.

"Penduduk Kuala Kedah terutama wanita dan warga emas yang tinggal sendirian bimbang dengan keadaan ini kerana penagih yang dalam keadaan khayal boleh bertindak agresif bila-bila masa," katanya.

Wanita itu juga tidak menolak kemungkinan ada orang luar turut menagih di kawasan berkenaan termasuk warga asing.

Katanya, dia sedar mengenai aktiviti penjualan dadah di tempat lain hingga ke darat yang diketahui menerusi operasi pihak berkuasa selain media.

"Memang membimbangkan pada waktu malam kalau berjalan sendirian apabila balik kerja di kawasan itu jika terserempak penagih kerana mereka boleh buat apa saja asalkan dapat duit.

"Saya harap isu di sini diambil perhatian serius oleh pihak berkuasa," katanya.

LOKASI yang dipercayai port penagihan dadah. FOTO Zuliaty Zulkiffli
LOKASI yang dipercayai port penagihan dadah. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Penduduk lain, Alias Mat Arof, 45, berkata, aktiviti penagihan dadah di kawasan Kuala Kedah berlarutan lama, namun sebahagian penagih tidak serik walaupun pernah ditahan pihak berkuasa.

Katanya, kebanyakan mereka menagih dadah semula selepas terpengaruh dengan rakan walaupun baru keluar daripada pusat pemulihan.

Alias khuatir jika kegiatan itu tidak ditangani dengan segera merosakkan anak muda di Kuala Kedah dan memberi imej buruk kepada mereka di luar daerah dan negeri.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 7:16 AM