SYARUL Ema Rena Abu Samah atau Ratu Naga. FOTO Arkib NSTP.
SYARUL Ema Rena Abu Samah atau Ratu Naga. FOTO Arkib NSTP.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Penyedia Kandungan TikTok Pro Perikatan Nasional (PN) Syarul Ema Rena Abu Samah atau lebih dikenali Ratu Naga dipanggil Bukit Aman.

Ia bagi membantu siasatan berhubung hantaran didakwa berbaur fitnah terhadap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ratu Naga berkata, beliau dihubungi Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman (USJT) dan diminta hadir pada 10 pagi esok, selepas polis menerima laporan dibuat anggota PKR.

Katanya, laporan dibuat terhadap akaun Instagram @ratunaga mengenai isu akaun Instagram @b.netanyahu yang memuat naik gambar bersama isteri-isteri pemimpin Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) termasuk Wan Azizah yang menghadiri minum petang bersama isteri Presiden Amerika Syarikat dan isteri Netanyahu.

"Saya akan hadir bersama peguam saya, Zaid Malek untuk dirakam percakapan," katanya hari ini.

Terdahulu PKR cabang Bandar Tun Razak membuat laporan polis terhadap tiga pengguna media sosial yang didakwa memuat naik hantaran berbaur fitnah terhadap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu.

Laporan polis dibuat oleh Ketua Wanita PKR cabang iaitu Jamilah Syed Mohamed di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.

Tiga pengguna media sosial memuat naik gambar dan video Dr Wan Azizah yang disunting daripada Instagram milik Perdana Menteri Israel semasa hadir ke UNGA ke-78 di New York, Amerika Syarikat, pada 21 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 8:46 PM