AB Rauf. FOTO Arkib NSTP
AB Rauf. FOTO Arkib NSTP
Amir Mamat

Durian Tunggal: Kerajaan negeri menubuhkan Pusat Kajian Tuah (TRC) di Universiti Melaka (Unimel) bertujuan mengkaji hasil penyelidikan berkaitan Laksamana Hang Tuah yang diperoleh dari beberapa negara sebelum ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, TRC akan mengumpulkan semua artifak sejarah Hang Tuah yang diperoleh sekumpulan penyelidik untuk dikaji secara mendalam sebelum didedahkan kepada umum.

Beliau berkata, sebelum ini, kumpulan pengkaji yang diketuai Prof Datuk Dr Mohd Taib Dora sudah ke beberapa negara untuk melihat dan mendapatkan bahan bukti mengenai kemasyhuran Hang Tuah termasuk di Rom (Itali), Amsterdam (Belanda), Britain selain China, India dan Turkiye.

"Hasil kunjungan kumpulan penyelidik yang kita hantar ke negara berkenaan, terdapat artifak yang termaktub dalam sejarah negara mereka dengan tertulis nama Laksamana Hang Tuah.

"Menerusi penemuan itu, dipercayai negara berkenaan mempunyai hubungan cukup rapat dengan seorang diplomat daripada Kesultanan Melayu Melaka yang ditugaskan untuk menghubungi negara luar bagi menjalankan hubungan diplomatik pada ketika itu.

"Apa yang ditemui di Universiti Lethern di Amsterdam baru-baru ini ialah lebih 20 buku mengenai Hang Tuah dalam 20 bahasa dunia. Kita akan cuba bawa balik ke Melaka sebagai membuktikan hebatnya laksamana Melayu itu di mata dunia.

"Jadi, kita sedang memperhalusi kekuatan dan kehebatan Hang Tuah, malah kita cuba memuktamadkan sebaik mungkin semua bahan sejarah yang kita peroleh itu pada Jun tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri di Dewan Canselori Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari, EXCO Kanan Negeri, Datuk Rais Yasin dan Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin.

Sebelum ini, Ab Rauf mengumumkan pelantikan 10 penyelidik serta pakar sejarah dari beberapa universiti tempatan bagi melengkapkan kajian penyelidikan mengukuh kewujudan Hang Tuah menerusi sumber baharu.

Pasukan pengkaji Hang Tuah dan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka itu diketuai Mohd Taib dan dibantu Prof Madya Dr Rohaidah Kamaruddin dari Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Dr Mardiana Nordin dari Universiti Malaya (UM).

Beberapa ahli pasukan penyelidik itu sebelum ini berjaya mengenal pasti banyak sumber baharu yang masih belum diterokai serta mengesan banyak khazanah serta artifak yang masih tersimpan di beberapa negara seperti Jepun, India, Portugal, Turkiye, China, Brunei, Indonesia dan Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 3:21 PM