Dr Zaliha Mustafa. FOTO Arkib NSTP
Dr Zaliha Mustafa. FOTO Arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan hanya produk kesihatan yang tidak dikategorikan sebagai ubat terkawal sahaja dibenarkan dijual melalui kiosk mesin layan diri yang dicadangkan di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, produk kesihatan ini merangkumi produk over the counter (OTC), suplemen kesihatan dan produk tradisional yang berdaftar.

"Produk kesihatan selain ubat terkawal ini boleh dijual di premis farmasi komuniti atau mana-mana premis perniagaan, dijual secara dalam talian atau melalui mesin layan diri dan pengguna boleh mendapatkan produk kesihatan tanpa perlu mendapatkan rawatan oleh pengamal perubatan berdaftar atau ahli farmasi berlesen terlebih dahulu (self medication).

"Manakala ubat-ubat terkawal di bawah Akta Racun 1952 yang tinggi risiko dan memerlukan penilaian keperluan rawatan yang dikategorikan sebagai ubat terkawal tidak dibenarkan dijual melalui mesin layan diri.

"Ubat dalam kategori ini hanya dibenar dibekalkan kepada pesakit oleh pengamal perubatan berdaftar dan ahli farmasi berlesen atau berdaftar sahaja," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) mengenai kajian kebolehlaksanaan dan garis panduan yang telah dibangunkan oleh kementerian bagi mengelakkan risiko kes keracunan akibat penjualan ubat tanpa kawalan susulan cadangan mewujudkan kiosk mesin layan diri perubatan di PPR.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, penjualan produk kesihatan yang tidak berdaftar dengan pihak berkuasa kawalan dadah (PBKD) melalui mesin layan diri adalah melanggar subperaturan 7(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan merupakan kesalahan di bawah subperaturan 30(1) peraturan yang sama.

"Dan sekiranya disabitkan dengan kesalahan boleh dihukum di bawah subseksyen 12(1) atau 12(2) Akta Jualan Dadah 1952," katanya.

Beliau berkata, bagi penjualan produk ubat-ubatan yang dikawal di bawah Akta Racun 1952 melalui mesin layan diri adalah melanggar seksyen 21 atau seksyen 22 Akta Racun 1952 dan merupakan kesalahan di bawah seksyen 13 Akta Racun 1952,

"Dan sekiranya disabitkan dengan kesalahan boleh dihukum di bawah subseksyen 32(2) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 12:19 PM