ROKET yang dilancar pejuang Hamas dari Gaza dipintas oleh sistem pertahanan Iron Dome Israel. FOTO AFP
ROKET yang dilancar pejuang Hamas dari Gaza dipintas oleh sistem pertahanan Iron Dome Israel. FOTO AFP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Situasi terkini di Gaza semakin meruncing apabila jumlah kematian membabitkan orang awam terus meningkat di tengah-tengah pencerobohan dan sekatan menyeluruh oleh rejim Israel.

Penyelaras Misi Keamanan Global Malaysia (GPM) di pusat kemanusiaan di Gaza, Dr Tareq M Altalmas berkata, bekalan keperluan asas termasuk air dan elektrik terjejas teruk, menjadikan kehidupan lebih sukar bagi penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal.

Beliau berkata, talian telekomunikasi tidak berfungsi di kebanyakan bahagian.

"Pengeboman berterusan tanpa amaran awal, mengorbankan keluarga, kanak-kanak dan wanita dalam sekelip mata," katanya kepada Bernama menerusi pesanan dari medan pertempuran (ground zero).

Tareq yang mengendalikan pusat itu bersama 10 sukarelawan Palestin berkata, walaupun keganasan berterusan, pusat itu telah melakukan yang terbaik dalam memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

"Kami menghadapi masalah untuk bergerak di darat ekoran pengeboman yang berterusan kerana tiada garis merah bagi pasukan penjajah Israel. Wartawan, pasukan perubatan, orang awam setiap seorang daripada mereka boleh menjadi sasaran Israel," katanya.

Peningkatan keganasan antara Israel-Palestin sejak 7 Oktober menyebabkan banyak nyawa terkorban membabitkan kedua-dua pihak. Lebih 2,400 nyawa terbunuh setakat ini, termasuk sekurang-kurangnya 1,100 rakyat Palestin dan 1,300 warga Israel, manakala ribuan lagi cedera.

Lebih 150,000 orang di Semenanjung Gaza hilang tempat tinggal apabila beribu-ribu kediaman, institusi awam dan infrastruktur dimusnahkan akibat serangan Israel.

"Kami kini cuba menyediakan keperluan kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal di sekolah UNRWA (United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees). Dianggarkan lebih 100,000 orang kini berlindung di sekolah-sekolah terbabit.

"Doakan kami," kata Tareq.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GPM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin ketika dihubungi Bernama menggesa Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak rakan sejawatannya dari Mesir untuk membuka lintasan Rafah, bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dihantar ke Gaza.

Beliau berkata, Gaza berada di ambang bencana kemanusiaan jika tiada tindakan diambil untuk menghentikan keganasan yang berterusan terhadap rakyat Palestin.

"Lintasan Rafah adalah satu-satunya talian hayat bagi rakyat Palestin sekarang," katanya.

Fahmi berkata, GPM bersedia untuk menggerakkan sumber kemanusiaannya ke Gaza sebaik saja mereka mendapat lampu hijau daripada pihak berkuasa untuk berbuat demikian.

Sementara itu, beliau juga merayu kepada orang ramai untuk menderma kepada tabung kecemasan "Taufan Al-Aqsa" GPM yang dilancarkan Rabu, untuk membantu rakyat Palestin. Semua sumbangan boleh disalurkan ke Global Peace Mission menerusi akaun Maybank Islamic: 5642-2161-1602.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 11:57 AM