MAYAT pelancong China yang dilaporkan hilang ketika keluar melakukan aktiviti menyelam sejak petang semalam, ditemukan terapung berhampiran Dataran Lepa. FOTO Ihsan APMM
MAYAT pelancong China yang dilaporkan hilang ketika keluar melakukan aktiviti menyelam sejak petang semalam, ditemukan terapung berhampiran Dataran Lepa. FOTO Ihsan APMM
Abdul Rahemang Taiming

Semporna: Mayat pelancong China yang dikhuatiri hilang ketika melakukan aktiviti menyelam (snorkeling) di sebuah pusat peranginan di Pulau Bum-Bum, dekat sini, ditemukan terapung, pagi tadi.

Mayat Lin Jun Yong, 25, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat berhampiran Dataran Lepa, pada 10.40 pagi.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, sebelum itu mangsa didakwa keluar berseorangan untuk melakukan aktiviti menyelam di sekitar kawasan pusat peranginan itu pada 5.15 petang semalam.

Bagaimanapun katanya, mangsa hanya disedari hilang apabila tidak pulang ke bilik penginapan serta gagal dikesan sebelum usaha pencarian dilakukan oleh rakan mangsa bersama pekerja dan pengurus pusat peranginan namun tidak menemukan sebarang petunjuk.

"Berikutan itu, satu laporan polis dibuat oleh pengusaha pusat peranginan pada 8.35 malam sebelum Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan jam 12.35 tengah malam tadi.

"Kawasan pencarian meliputi 32 batu nautika persegi sekitar perairan Pulau Bum-Bum," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Amir Shubli berkata, selain Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM), usaha pencarian turut dibantu Pasukan Polis Marin (PPM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM); Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta komuniti setempat.

"Mayat kemudiannya dibawa ke Jeti Guru, Semporna sebelum dihantar ke Hospital Semporna untuk bedah siasat," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian air laut pasang dengan kedalaman kira-kira tiga meter.

"Mangsa juga didapati tidak memakai jaket keselamatan kerana beranggapan pandai berenang selain jarak kawasan menyelam hanya antara 10 hingga 15 meter daripada jeti resort.

"Sehubungan dengan itu, pengusaha resort atau penggiat pelancongan dinasihatkan supaya mewajibkan penggunaan jaket keselamatan ketika melakukan aktiviti menyelam, membuat pemantauan selain memastikan kamera pengawasan (CCTV) berfungsi dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 2:52 PM