Aizat Sharif


Padang Besar: Penjagaan dua anak lelaki Allahyarham Munirah Abu Bakar yang berusia enam dan lapan tahun akan dibincangkan bersama keluarga suami mangsa.

Bapa mangsa, Abu Bakar Senapi, 64, berkata, pihaknya belum lagi memikirkan mengenai perkembangan itu.

"Kita akan berbincang dengan keluarga besan dalam masa terdekat.

"Bagaimanapun buat masa ini, kita belum capai apa-apa keputusan lagi," katanya ketika ditemui selepas pengebumian jenazah Munirah di Tanah Perkuburan Islam Keluarga Haji Talib Kampung Paya Tengah, Beseri petang tadi.

Dia turut melahirkan kesyukuran dengan segala kerjasama dan kemudahan yang diberikan sepanjang proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar sehinggalah ke proses pengebumian jenazah anaknya.

Sebelum itu, jenazah jururawat, Munirah Abu Bakar, 31 yang maut ditikam oleh suaminya di rumah mereka di Padang Nyu, Arau semalam selamat dikebumikan hari ini.

Jenazah yang selesai proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dibawa pulang ke kediaman keluarganya di Kampung Paya Tengah, Beseri sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Keluarga Haji Talib Kampung Paya Tengah, Beseri.

Hampir 100 orang yang terdiri daripada ahli keluarga, sanak saudara, kenalan dan rakan sekerja mangsa di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar hadir dalam majlis pengebumian itu.

Malah, kedua-dua anak Allahyarham juga bagaikan tidak mengerti dengan pemergian ibu mereka dimana mereka ketika ditanya sanak saudara hanya mengatakan bahawa ibu mereka 'pergi' sekejap sahaja.

Dalam masa yang sama juga, suspek yang juga suami kepada Munirah yang berusia 38 tahun direman sehingga 7 Oktober depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 7:12 PM
Kedua-dua anak jururawat Allahyarham Munirah menabur bunga mawar di pusara ibu mereka di Tanah Perkuburan Islam Haji Talib, Kampung Paya Tengah, Beseri, Padang Besar. FOTO AIZAT SHARIF
Kedua-dua anak jururawat Allahyarham Munirah menabur bunga mawar di pusara ibu mereka di Tanah Perkuburan Islam Haji Talib, Kampung Paya Tengah, Beseri, Padang Besar. FOTO AIZAT SHARIF