SEBUAH bas Rapid KL yang sedang bergerak terbakar 90 peratus di  Jalan Tandang, Petaling Jaya. FOTO Ihsan JBPM
SEBUAH bas Rapid KL yang sedang bergerak terbakar 90 peratus di Jalan Tandang, Petaling Jaya. FOTO Ihsan JBPM
Muhaamad Hafis Nawawi

Petaling Jaya: Rapid KL akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis bagi menjalankan siasatan berhubung kebakaran sebuah bas laluan T640 (Transit Aliran Ringan (LRT) Taman Jaya –Taman Sri Sentosa), di sini, hari ini.

Rapid KL berkata, kebakaran berlaku berhampiran hentian bas di Jalan Penchala pagi tadi.

Menurutnya, pasukan Bomba dan Penyelamat dihubungi dan tiba di lokasi kejadian pada 11.15 pagi.

"Kebakaran berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya pada 12 tengah hari.

"Ketika kejadian, terdapat lapan penumpang di dalam bas. Kapten Bas dan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, penumpang yang terbabit mengambil pengangkutan alternatif untuk ke destinasi mereka.

"Tiada kerosakan pada harta benda awam. Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan lapan penumpang berdepan detik mencemaskan selepas bas Rapid KL dinaiki terbakar di Jalan Tandang, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 3:41 PM