FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Peningkatan harga beras import sehingga 36 peratus dan kesukaran memperoleh beras tempatan jika tidak diatasi segera, boleh merebak menjadi bom jangka sebelum akhirnya mencetuskan krisis.

Profesor Madya dan Timbalan Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, harga beras pada masa akan datang berisiko meningkat lebih tinggi kerana kebergantungan Malaysia kepada negara luar untuk mendapatkan bekalan beras.

Kata beliau, Kerajaan Pusat dan Negeri perlu mempertingkatkan simpanan bank makanan untuk bersedia berhadapan dengan sebarang kemungkinan krisis makanan yang lebih mencabar.

"Kita tahu, tahun ini lebih ramai penduduk dunia yang akan berhadapan dengan krisis makanan, termasuk peningkatan kadar kebuluran dan kekurangan bekalan.

"Sekiranya krisis makanan meruncing maka stok makanan yang disimpan boleh digunakan untuk disalurkan kepada rakyat.

"Peralihan subsidi melalui kad pengenalan dan e-dompet secara berperingkat juga sesuatu yang boleh dipertimbangkan pelaksanaannya.

"Ia bagi membantu menyelesaikan krisis yang melanda supaya krisis ini tidak berlarutan dan merebak kepada barangan lain yang akan lebih memberikan tekanan kepada rakyat.

"Selain itu, pihak berkuasa juga perlu bertindak terhadap pihak yang mengambil kesempatan terhadap krisis beras ini kerana berkemungkinan, ia turut membabitkan isu kartel yang menyebabkan kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran," katanya.

Selain itu, beliau berkata, ada usaha dan inisiatif awal yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri, antaranya Terengganu dan pelbagai pihak lain, yang terbabit dalam penghasilan Beras Ganu.

Menurutnya, beras keluaran anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu berjaya membekalkan beras tempatan untuk keperluan rakyat dan mendapat permintaan tinggi pengguna ekoran kenaikan harga beras import dan kekurangan beras tempatan lain di pasaran ketika ini.

"Inisiatif Beras Ganu boleh dijadikan contoh dalam membantu kekurangan bekalan beras dan perkara ini juga perlu diperluaskan dalam konteks mengurangkan kebergantungan kepada barangan import.

"Malah, sebahagian bahan mentah makanan pula, pengeluarannya boleh dibuat di peringkat dalaman sahaja tanpa bergantung kepada negara luar.

"Malaysia sebenarnya amat terdedah kepada isu ini, lebih-lebih lagi kebergantungan Malaysia terhadap barangan import, terutamanya bekalan makanan yang amat tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 1:24 PM