ANWAR mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang pertama di Pejabat Perdana Menteri, 5 Disember 2022. FOTO arkib
ANWAR mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang pertama di Pejabat Perdana Menteri, 5 Disember 2022. FOTO arkib
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Wujud keperluan untuk mengimbangi komposisi golongan muda di dalam Kerajaan Perpaduan dengan meletakkan wakil semua parti di Kabinet.

Ini kerana pada ketika ini, tiada wakil Pergerakan Pemuda Umno atau pun mereka yang sebelum ini menjadi wakil sayap itu di dalam Kabinet.

Pemerhati melihat ia sebagai satu keadaan yang berbeza daripada tradisi sebelum ini yang meletakkan wakil sayap berkenaan di dalam Kabinet termasuk dilantik sebagai senator.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu memainkan peranan utama sekiranya mahukan pemuda parti itu menyertai Kabinet ketika ini.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, ini kerana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terlebih dulu akan meminta pandangan daripada rakan komponen parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan jika mahu melantik seseorang ke dalam Kabinet.

"Biasanya Perdana Menteri akan minta pandangan daripada parti. Parti itu yang kena cadangkan.

"Ahmad Zahid kena memainkan peranan kalau nak beri peluang kepada Pemuda Umno untuk masuk ke dalam Kabinet," katanya kepada Harian Metro.

Sebelum ini dilaporkan nama Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Hasbie Muda antara yang disebut-sebut menggantikan Adly Zahari sebagai Timbalan Menteri Pertahanan, jika jawatan itu dikosongkan.

Adly dikatakan akan dinaikkan pangkat sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Hasbie dilaporkan mengaku mendengar spekulasi itu, bagaimanapun berkata ia bergantung kepada pertimbangan Anwar.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, pihaknya melihat wakil Pemuda Umno perlu ada di dalam Kabinet Anwar.

"Bila ada rombakan Kabinet ini, mungkin boleh mengambil orang baru masuk. Letaklah Pemuda. Macam parti Umno, perlu ada Pemuda dalam (Kabinet) itu," katanya.

Beliau berkata, dengan adanya wakil, ia akan menguatkan sayap parti itu dan seterusnya mengiktiraf peranan Pemuda.

"Apabila diberi pengiktirafan, Pemuda akan membalasnya dengan merit, malah dengan kesungguhan mereka," katanya.

Pemerhatian mendapati rata-rata wakil rakyat Pemuda Umno ketika ini hanya berada di peringkat negeri termasuk Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh yang menjadi Exco Kerajaan Melaka.

Arkitek Merlimau itu dilihat agresif menjalankan tugasnya di kawasan itu dan mendapat maklum balas positif daripada banyak pihak.

Selain itu, Mohd Hairi Mad Shah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tebrau juga mempunyai rekod yang baik setakat ini.

Manakala Exco Pemuda yang lain hanya berperanan sebagai pegawai kepada ahli Kabinet termasuk yang menjadi Setiausaha Akhbar dan Pegawai Khas di kementerian tertentu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 5:01 PM