ANTHONY Loke. FOTO NSTP.
ANTHONY Loke. FOTO NSTP.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Putrajaya: Permohonan pengampunan penuh untuk bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan pendirian kerajaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu juga tidak pernah dibincangkan dalam kabinet.

"Isu pengampunan itu adalah pendirian parti Umno. Umno sebagai parti politik, bukannya pendirian kerajaan.

"Untuk berlaku adil kepada Menteri Umno, ia tidak pernah dibawa ke kabinet. Itu bukannya pendirian kabinet (sebaliknya) pendirian parti," katanya pada sidang media di kementeriannya di sini hari ini.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno baru-baru ini sebulat suara bersetuju memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi untuk mempertimbangkan pengampunan penuh Najib.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, MKT akan mempersembahkan warkah rayuan kepada Seri Paduka Baginda berserta memorandum ditandatangani seluruh kepimpinan daripada 191 bahagian termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri Umno.

Loke berkata, dari segi proses, sesiapa saja selepas disabitkan kesalahan boleh memohon pengampunan dan ia adalah perkara biasa.

"Ia adil kepada semua pihak. Sesiapa saja boleh memohon pengampunan.

"Tetapi sama ada itu dibenarkan atau tidak terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Kita menaruh kepercayaan kepada proses sewajarnya dan juga kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan yang terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 11:24 AM