Rahmad (duduk, tengah) bersama penerima anugerah pembayaran zakat pada Majlis Anugerah Zakat Melaka Sektor Awam dan Swasta Tahun 2022 di sini malam ini. FOTO BERNAMA
Rahmad (duduk, tengah) bersama penerima anugerah pembayaran zakat pada Majlis Anugerah Zakat Melaka Sektor Awam dan Swasta Tahun 2022 di sini malam ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Melaka: Kutipan zakat di Melaka mencatatkan peningkatan sebanyak 15.53 peratus kepada RM89.17 juta dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos tahun ini berbanding RM77.18 juta dalam tempoh sama pada tahun lalu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata daripada jumlah itu, zakat harta mencatatkan kutipan RM83.41 juta manakala zakat fitrah RM5.76 juta.

Beliau berkata kutipan zakat harta merekodkan peningkatan 16.53 peratus kepada RM83.41 juta dengan jumlah pembayar sebanyak 46,050 orang dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos tahun ini berbanding RM71.58 juta membabitkan 47,911 pembayar dalam tempoh sama tahun lalu.

"Zakat pendapatan merekodkan kutipan tertinggi iaitu sebanyak RM48.05 juta dengan jumlah pembayar sebanyak 34,766 orang pada tahun ini berbanding RM42.20 juta membabitkan 32,285 pembayar pada tahun lalu.

"Kutipan zakat terendah ialah zakat pertanian iaitu sebanyak RM31,014.45 dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini dan kutipan zakat berkenaan turut berkurang 23.4 peratus berbanding RM40,488.49 dalam tempoh sama tahun lepas," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Anugerah Zakat Melaka Sektor Awam dan Swasta Tahun 2022 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Datuk Ibrahim Fadzil.

Mengulas lanjut, Rahmad yang juga Timbalan Pengerusi Zakat Melaka berkata kutipan zakat wang simpanan merekodkan penurunan 6.81 peratus kepada RM15.23 juta dengan jumlah 6,988 pembayar dalam tempoh 1 Jan hingga 31 Ogos tahun ini berbanding RM16.35 juta melibatkan 11,063 pembayar dalam tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata dalam tempoh sama tahun ini juga, Majlis Agama Islam Melaka telah mengagihkan sebanyak RM81.25 juta dana zakat kepada lapan golongan asnaf yang berhak menerimanya menerusi pelbagai skim dan program agihan bantuan.

"Kerajaan negeri sentiasa cakna dengan kesempitan dan kesulitan yang dihadapi rakyat berdepan kenaikan harga barang serta kos sara hidup.

"Kami akan terus komited membantu menyelesaikan masalah serta rintihan mereka dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu selain menambah bantuan sedia ada," katanya.

Sementara itu, beliau berkata kutipan zakat menerusi pemotongan gaji di negeri itu meningkat sebanyak 13.81 peratus kepada RM33.07 juta dalam tempoh sama tahun ini berbanding RM29.06 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Katanya jumlah pembayar zakat menerusi potongan gaji melibatkan sektor awam dan swasta turut meningkat kepada 33,021 orang pada tahun ini berbanding 32,024 orang pada tahun lalu.

Terdahulu pada majlis berkenaan, sebanyak 11 agensi sektor awam dan swasta menerima anugerah pembayar zakat mengikut lima kategori iaitu bayaran zakat tertinggi (Anugerah Diamond), pembayar zakat tertinggi (Anugerah Ruby), peratus kenaikan bayaran tertinggi (Anugerah Sapphire), peratus kenaikan pembayar tertinggi (Anugerah Emerald) dan pembayaran komited (Anugerah Amethyst).

Anugerah Diamond kategori sektor awam diterima oleh Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) manakala bagi kategori swasta pula diterima Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 9:30 AM