Radzi pada sidang media di Dewan Rakyat selepas di arah keluar keluar Dewan. FOTO ihsan FMT
Radzi pada sidang media di Dewan Rakyat selepas di arah keluar keluar Dewan. FOTO ihsan FMT
Suraya Ali


Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin menyifatkan sidang Dewan Rakyat semalam sebagai 'satu hari hitam buat Parlimen Malaysia'.

Beliau berkata demikian selepas diarah keluar Dewan kerana mengganggu sesi penggulungan perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi Kementerian Kewangan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Radzi juga terbabit dalam pertikaman lidah dengan penyokong kerajaan dan enggan mendengar arahan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, supaya duduk dan memberi peluang kepada Anwar untuk meneruskan sesi penggulungannya tanpa diganggu.

Bekas Menteri Pendidikan itu turut mempersoalkan permintaannya supaya Anwar menarik balik kenyataan berunsur tuduhan terhadapnya, yang seolah-olah diabaikan Johari.

"Saya mohon rakyat Malaysia hari ini tengok, kalau kami dalam Dewan sendiri dituduh macam-macam di depan begitu tanpa sebarang bukti dan diminta supaya kenyataan itu ditarik balik pun tak boleh.

"Kami pun tidak mendapat keadilan, bagaimana untuk rakyat," katanya pada sidang media di Parlimen itu.

Radzi berkata tidak munasabah untuk Anwar menuduhnya ketika memberi penjelasan mengenai keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah Yayasan Akalbudi.

Ahli Parlimen pembangkang keluar dari Dewan Rakyat ketika Anwar Ibrahim menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12), hari ini. FOTO BERNAMA
Ahli Parlimen pembangkang keluar dari Dewan Rakyat ketika Anwar Ibrahim menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12), hari ini. FOTO BERNAMA

"Permintaan saya tak susah. Cuma minta Ahli Parlimen Tambun menarik balik kenyataan itu sahaja kerana membabitkan tuduhan kepada saya.

"Ini perkara yang sangat 'straight forward'. Itu sahaja. Kenapa nak pertahankan benda yang tidak betul? Kenapa nak pusing-pusing jawapan," katanya.

Susulan arahan untuk Radzi keluar, ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) lain turut sama meninggalkan Dewan Rakyat sebagai tanda protes.

Bagaimanapun, hanya Khlir Nor (PN-Ketereh) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) kekal berada dalam Dewan.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin berkata, tindakan semua ahli Parlimen PN keluar dewan adalah sebagai tanda protes terhadap Johari kerana berlaku ketidakadilan.

Hamzah bersama Ahli Parlimen pembangkang keluar dari Dewan Rakyat ketika Anwar Ibrahim menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12), hari ini. FOTO BERNAMA
Hamzah bersama Ahli Parlimen pembangkang keluar dari Dewan Rakyat ketika Anwar Ibrahim menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12), hari ini. FOTO BERNAMA

"Sepatutnya dia (Speaker) melakukan sesuatu mengikut legislatif bukan menjadi seorang peguam," katanya.

Hamzah berkata, perbuatan Anwar dalam `memusingkan' kenyataan sebelum itu menunjukkan suatu pembohongan berlaku di dewan.

"Jadi saya bangun dan kata, kalau keputusan itu dibuat oleh Speaker adalah sesuatu yang tak adil kepada salah seorang ahli Parlimen pembangkang.

"Maka tiada guna kita duduk (dalam Dewan Rakyat) kerana mengakui bahawa yang pembohongan itu benar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 8:38 AM