Nota mengenai had pembelian beras tempatan di Pasar Raya Sri Ternak, Selayang ketika tinjauan Ops JAMIN hari ini. FOTO BERNAMA
Nota mengenai had pembelian beras tempatan di Pasar Raya Sri Ternak, Selayang ketika tinjauan Ops JAMIN hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bekalan beras putih tempatan dijangka meningkat sebanyak 450,000 tan metrik menjelang akhir tahun ini, menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood, berkata sasaran itu susulan musim penuaian di negeri Kedah yang akan meningkatkan pengeluaran dan penghasilan beras putih tempatan.

Selain itu, katanya, kementerian itu juga sudah memperkenalkan beberapa inisiatif untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan.

Antaranya, sawah berskala besar dan turut memperkenalkan empat langkah intervensi mengawal selia bekalan beras dan padi di negara ini.

Menurutnya, antara empat langkah itu ialah mengadakan rundingan bersama 157 kilang komersial dengan menyerahkan 20 peratus pengeluaran padi kepada kerajaan supaya dapat diurus dan diedarkan oleh kerajaan.

"Cara pengedaran kita gunakan syarikat pemborong besar, kita buat padanan dengan hypermarket (pasar raya besar) dan kita sudah membuat sesi libat urus dengan hypermarket untuk menentukan harga berapa mereka boleh jual.

"Bagi di luar hypermarket, kami melantik 103 pemborong untuk mereka menggunakan jenama sendiri dan mengedarkan di kawasan berdekatan seperti di luar bandar dan sebagainya," katanya semasa menjadi tetamu dalam program Reaksi bertajuk "Status Semasa Beras Negara" terbitan Bernama Radio, hari ini.

Azman berkata KPKM juga menggunakan platform agensinya seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang mempunyai 1,400 cawangan dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan lebih kurang 35 cawangan seluruh negara untuk mengedar beras tempatan kepada rakyat.

"Kita juga mengadakan sesi libat urus dengan persatuan peniaga kerana kebanyakan mereka memborong beras tempatan kerana kos rendah.

"Jadi kita beri pilihan mungkin boleh guna beras import dengan menawarkan harga yang berpatutan bagi beras putih import supaya mereka tidak bersaing dengan rakyat untuk membeli beras tempatan dan kebanyakan mereka bersetuju," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga melancarkan Operasi Beras Putih Tempatan (OP PBT) untuk mengawal beras di peringkat runcit dan borong, selain bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia (KPDNHEP) berhubung perkara itu.

Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohammad Sabu, berkata stok bekalan beras negara mencukupi untuk menampung keperluan domestik bagi tempoh empat hingga lima bulan ini dan belum ada keperluan kecemasan untuk menggunakan stok penimbal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 7:01 PM