DATUK Dr Mohd Na’im Mokhtar pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
DATUK Dr Mohd Na’im Mokhtar pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Mohammad Khiaril Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Dewan Rakyat hari ini diberitahu sebanyak 8,272 syarikat yang memegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bagi semua kategori industri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, bagi jumlah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai SPHM adalah sebanyak 7,306 syarikat iaitu 88.32 peratus daripada keseluruhan jumlah pemegang yang aktif.

"Daripada jumlah keseluruhan itu, 3,270 syarikat iaitu 39.53 peratus adalah pemegang SPHM kategori syarikat Bumiputera," katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, di sini.

Mengulas lanjut, Mohd Na'im berkata, bagi kategori usahawan, sistem pendaftaran pemohon SPHM adalah berdasarkan maklumat pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Jadi, data yang boleh diperoleh hanya meliputi status pemilikan Bumiputera, bukan Bumiputera atau pemilikan warga asing dan kategori industri sama ada mikro, kecil, kecil sederhana dan multinasional.

"Sementara, tiada maklumat kategori gender (jantina) yang didaftarkan," katanya.

Beliau berkata, daripada beberapa Mesyuarat Jemaah Menteri dan mesyuarat antara kementerian yang telah diadakan, persetujuan dan ketetapan telah dicapai agar Halal Development Corporation Berhad (HDC) memainkan peranan penting.

"Untuk memberi penumpuan terhadap latihan dan bimbingan industri bagi memastikan industri bersedia untuk memohon SPHM," katanya.

Menurutnya, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) juga sentiasa mengadakan kerjasama dan libat urus dengan semua agensi bimbingan usahawan di bawah kementerian yang melaksanakan fasilitasi, dari aspek piawaian dan prosedur pensijilan halal termasuk tatacara permohonan halal bagi menambah baik tata kelola terhadap industri PKS.

"Selain sesi fasilitasi dalam kelompok yang besar, Jakim juga kerap mengadakan fasilitasi secara berfokus dengan mana-mana syarikat yang menghadapi masalah dalam pensijilan halal, sama ada di peringkat pra permohonan, semasa dan pasca pensijilan halal melalui pewujudan Seksyen Advokasi di Bahagian Pengurusan Halal, Jakim.

"Jakim turut memanfaatkan tenaga pakar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta termasuklah Institut Penyelidikan Produk Halal (IPHH), Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam pelbagai aspek berkaitan halal melalui kerjasama yang diadakan bagi memperkasakan ekosistem halal dalam dan luar negara.

"Pihak Jakim telah mengadakan kerjasama dengan IPPH, UPM sejak tahun 2010 dari segi penyelidikan dan kepakaran halal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 1:09 PM