KUALA LUMPUR 16 SEPTEMBER 2023: Seramai lebih 10,000 orang hadir ke Dataran Merdeka Bagi meraikan Keretapi Sarong 2023 di dataran Merdeka, Kuala Lumpur. STU/ AHMAD UKASYAH
KUALA LUMPUR 16 SEPTEMBER 2023: Seramai lebih 10,000 orang hadir ke Dataran Merdeka Bagi meraikan Keretapi Sarong 2023 di dataran Merdeka, Kuala Lumpur. STU/ AHMAD UKASYAH
LEBIH 10,000 orang meraikan program Keretapi Sarong 2023 di Dataran Merdeka. FOTO Ahmad Ukasyah
LEBIH 10,000 orang meraikan program Keretapi Sarong 2023 di Dataran Merdeka. FOTO Ahmad Ukasyah
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Lebih 10,700 membanjiri Dataran Merdeka bagi menjayakan program Keretapi Sarong 2023 (KS2023) bersempena sambutan Hari Malaysia 2023, hari ini.

Bertemakan 'Memperkasa Semangat Perpaduan Menerusi Kepelbagaian Etnik Rakyat Malaysia,' acara yang memasuki tahun ketujuh penganjuran itu bertujuan untuk menjadi platform mempromosikan perpaduan Malaysia dalam semangat masyarakat majmuk dalam meraikan Hari Malaysia pada setiap tahun.

Pengarah Program KS2023, Shamsul Bahrin Zainuzzaman berkata, tema Etnik dipilih tahun ini kerana rakyat Malaysia menghargai perbezaan dan berbangga dengan identiti kebersamaan.

"Acara ini bukan hanya sambutan meraikan akar budaya kita tetapi juga bukti kekuatan dan perpaduan kita bersama. Sama ada anda merayakan warisan Melayu, Cina, India, atau pribumi, biarkan pakaian etnik atau Sarong anda menjadi representasi akar budaya dan perpaduan dalam kepelbagaian.

"Seiring dengan sambutan tahun ketujuh berturut-turut dan semangat kebangsaan konsep Malaysia Madani yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, tema ikonik dan unik ini diharapkan akan terus memangkin usaha semua pihak untuk terus mempromosikan budaya penyatuan yang dibawakan oleh acara Keretapi Sarong ini.

"Kami teguh percaya bahawa mengetengahkan tema etnik di tengah-tengah perpaduan Malaysia adalah bukti kekayaan budaya negara ini dan komitmennya untuk meraikan kepelbagaian dengan semangat harmoni yang lebih utuh lagi," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, dia menganggarkan 30 peratus yang hadir memakai pakaian tradisional Sarong dan etnik daripada pelbagai suku Sabah dan Sarawak.

Lebih membanggakan, program anjuran LOCCO iaitu organisasi yang membantu mempromosikan aktiviti kebudayaan menerusi penganjuran Keretapi Sarong sejak 2017 itu berlangsung serentak di lima bandar utama seperti Johor Baharu (sepanjang Sungai Segget), Kota Bharu (LaRocka Park, Tunjong Kota Bharu, Kelantan), Ipoh (KTMB Ipoh), dan Kuala Terengganu (Kampung Budaya Terengganu), serta di London, United Kingdom (Battersea Power Station sebagai destinasi akhir).

Sambutan unik dan bertenaga dapat dilihat di pelbagai bandar dan stesen seperti Putrajaya Sentral (KLIA Transit), Subang Jaya (LRT), Bandar Utama (MRT), Ampang (LRT), Gombak (LRT), Kajang (MRT) dan KL Sentral (LRT), menjanjikan hari yang penuh dengan budaya, perpaduan, dan keseronokan.

Antara aktiviti menarik lain yang tersedia sepanjang KS2023 adalah Kuih Piknik X Keretapi Sarong (oleh Media Prima Berhad), Sejarah Sarong, Sarong Serantau, Segar Sarong dan Stail Sekarang.

Bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni, dan Kebudayaan (MOTAC), Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN), dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), KS2023 tahun ini turut mendapat sokongan Rakan Kerjasama Utama, Rapid KL.

ANTARA pengunjung yang meraikan program Keretapi Sarong 2023 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. FOTO Ahmad Ukasyah
ANTARA pengunjung yang meraikan program Keretapi Sarong 2023 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. FOTO Ahmad Ukasyah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 2:10 PM