Nazri menyantuni penduduk di Warong Pak Sahak, Jalan Bakri selepas memenangi Pilihanraya Kecil DUN N.13 Simpang Jeram. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Nazri menyantuni penduduk di Warong Pak Sahak, Jalan Bakri selepas memenangi Pilihanraya Kecil DUN N.13 Simpang Jeram. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Oleh Essa Abu Yamin


Muar: Selepas meraih kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram semalam, Nazri Abdul Rahman daripada Pakatan Harapan (PH) terus menunaikan janjinya untuk bertemu rakyat.

Nazri memulakan aktiviti pertamanya pagi ini dengan melawat dan singgah di warung di Simpang Jeram dengan bersarapan dan beramah mesra dengan orang ramai.

Dalam lawatannya itu, beliau berjanji untuk mendekati golongan muda dan melaksanakan program-program yang menjadi pilihan bagi golongan berkenaan.

"Saya akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk melaksanakan program yang sesuai bagi golongan belia di Simpang Jeram khususnya," katanya ketika ditemui selepas Program Ramah Mesra Bersama Penduduk di sekitar pekan Simpang Jeram di sini, hari ini.

Nazri berkata, beliau turut menitipkan kemenangannya dalam PRK semalam adalah untuk abangnya yang telah meninggal dunia.

"Arwah abang saya penyokong kuat saya dalam politik. Jika dia masih ada hari ini, saya pasti dia akan berbangga dengan saya," katanya.

Sementara itu, pengundi Simpang Jeram ketika ditemui berharap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang baru pilih itu dapat menunaikan tanggungjawab sebaiknya.

Pengundi di Simpang Jeram, Mohd Khuzai Supar, 54, berkata, beliau berharap ADUN itu dapat menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat yang telah dipilih oleh rakyat.

"Saya berharap beliau dapat menunaikan tugas yang diamanahkan oleh pengundi kawasan itu," katanya.

Seorang lagi pengundi di Simpang Jeram, Lim Pei Heng, 42, berharap Nazri dapat membantu menangani masalah banjir kilat dan kesesakan lalu lintas di kawasan itu.

Nazri yang juga Timbalan Ketua Bahagian Parti Amanah Negara (AMANAH) Bakri memperoleh 13,484 undi dengan majoriti sebanyak 3,514 menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Dr Mohd Mazri Yahya yang memperoleh 10,330 undi, manakala calon bebas, S Jegananthan hanya mendapat 311 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 1:24 PM