Mohd Iskandar Ibrahim dan Mohd Nasaruddin Parzi

Putrajaya: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) harus mengambil kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor sebagai satu landasan untuk memenangi balik semula kawasan Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata, gabungan Kerajaan Perpaduan ini tidak perlu terikut-ikut dengan permainan kotor politik parti lawan yang memainkan sentimen kaum dan ekstremisme.

"Kita harus mendedahkan politik fitnah, adu domba, kebencian, momokan dan ugutan (parti lawan) yang memecah belahkan rakyat tanpa manfaat kepada sesiapa pun.

"Jangan percaya serigala politik yang bertopengkan negarawan berprinsip atau orang muda yang mendokong politik lama dan yang penuh dengan hasad dengki semata-mata nak balas dendam," katanya berucap pada Persidangan Parti DAP 2023 di sini, hari ini.

PH mengekalkan penguasaan di dua kerusi PRK di Johor iaitu Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, dalam keadaan peratusan keluar mengundi agak rendah semalam.

Calon PH di Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat yang juga bekas Speaker DUN Johor menang selepas memperoleh 48,283 undi, berbanding Zulkifli Jaafar daripada PN mencatat 29,642 undi dan Samsudin Mohamad Fauzi daripada Bebas pula meraih 528.

PENGERUSI Barisan Nasional Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan Guan Eng (kanan) sambil diperhatikan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke ketika Persidangan Parti DAP 2023. FOTO Aizuddin Saad
PENGERUSI Barisan Nasional Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan Guan Eng (kanan) sambil diperhatikan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke ketika Persidangan Parti DAP 2023. FOTO Aizuddin Saad

Di Dun Simpang Jeram pula, Timbalan Ketua Parti Amanah Negara (AMANAH) Kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman yang mewakili PH diumumkan menang dengan majoriti 3,514 undi.

Beliau optimis, rakyat akan menyokong Kerajaan Perpaduan kerana mahu kerajaan berbilang bangsa yang berkhidmat dan jaga semua tanpa kira kaum dan agama.

"Rakyat sokong Kerajaan Perpaduan kerana mahukan kestabilan politik agar berikan tumpuan kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Cukup-cukuplah berpolitik, sekarang lihatlah siapa yang membolehkan rakyat hidup lebih senang.

"Rakyat sokong Kerajaan Perpaduan yang cekap uruskan ekonomi dan kos sara hidup. Takkan rakyat nak jadi mundur macam negeri-negeri yang ditadbirkan mereka sampai air bersih pun takda. Jangan lupa prestasi gagal Kerajaan PN belanjakan RM530 bilion tetapi rakyat kena kibarkan bendera putih," katanya.

Sebaliknya beliau berkata, dalam tempoh sembilan bulan ini, Kerajaan Perpaduan sudah berjaya mengawal kadar inflasi ke tahap rendah dua peratus pada Julai dan juga pertumbuhan ekonomi yang mampan.

"Bagi mengurangkan kos pinjaman, Bank Negara mempertimbangkan penurunan OPR pada masa kelak memandangkan inflasi kini terkawal.

"Kini ada Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 untuk menarik pelaburan sebanyak RM95 bilion supaya gaji median bulanan boleh berganda sebanyak RM4,150 pada 2030," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 11:28 AM