Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Seorang pesara kerajaan 'berputih mata' apabila wang persaraan berjumlah RM202,000 lebur ditipu skim pelaburan ditawarkan syarikat berpangkalan di Utara Tanah Air pada 2020.

Lebih menyedihkan warga emas berusia 60-an itu meninggal dunia tahun lalu sebelum sempat menuntut keadilan daripada syarikat pelaburan berkenaan.

Anak mangsa, Nurul,35, berkata, bapanya tertarik dengan janji-janji manis ditaburkan ejen syarikat terbabit hingga menyebabkan ibunya turut terjerat dan melabur skim ditawarkan.

"Ibu bapa saya kerugian RM250,000 menerusi skim pelaburan itu. Bapa saya sanggup membuat pinjaman peribadi sebanyak RM48,000 dan selebihnya menggunakan duit pencen RM202,000.

"Saya tidak pasti apa yang terjadi. Namun ibu memaklumkan mereka ada menandatangani dokumen perjanjian dan syarikat itu berdaftar (Suruhanjaya Syarikat Malaysia).

"Mereka berurusan melalui seorang kakitangan syarikat berkenaan di cawangan Muar, Johor yang mempromosikan pelaburan itu," katanya pada sidang akhbar tadi.

Terdahulu Harian Metro mendedahkan modus operandi sebuah syarikat pelaburan didakwa berjaya mengaut keuntungan mencecah RM60 juta hasil menipu hampir 1,500 mangsa di seluruh negara.

Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim yang sudah menerima 80 aduan daripada mangsa terbabit.

Sementara itu mangsa, Mazui ,45, berkata, niatnya mahu membantu keluarga di kampung keluar dari belenggu kemiskinan musnah apabila dia kerugian sekitar RM 570,000 selepas melabur menerusi skim berkenaan.

Katanya, dia bertemu sendiri dengan pemilik syarikat terbabit pada 2019 ketika sedang menjalankan projek pemasangan pemancar isyarat.

"Dia (pengurus) berjaya membuatkan saya terpesona serta yakin dengan kredibiliti diri dan syarikat pelaburan berkenaan.

"Suspek dipercayai seorang lelaki berketurunan Siam (Thailand) berusia 50-an dan mahir bertutur beberapa bahasa termasuk Bahasa Malaysia, Tamil dan Hokkien," katanya.

Bapa kepada lima anak itu berkata, dia kini dipandang serong malah dicop sebagai penipu oleh ahli keluarga kerana tersilap langkah dalam pelaburan.

Katanya, keluarganya kian dihimpit kesusahan berikutan wang digunakan untuk membuat pelaburan berkenaan dikumpul dari sanak saudara di Kelantan.

Menurutnya, mereka dijanjikan pulangan menerusi pelaburan hartanah dimana syarikat berkenaan mendakwa menjalankan projek pembangunan dan pertanian.

"Syarikat ini juga dakwa bekerjasama dengan pihak kerajaan dan menunjukkan gambar mesyuarat dengan pelbagai agensi kerajaan. Mereka juga muat naik gambar-gambar kononnya tapak projek.

"Salah saya juga kerana tidak pergi tengok sendiri tapak projek berkenaan kerana ia terletak jauh di negeri-negeri lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 4:04 PM