CHEONG Suh Ling (kanan) bersama Yeo Fei Hong. FOTO Bernama
CHEONG Suh Ling (kanan) bersama Yeo Fei Hong. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Terengganu: Berbusana tradisional batik bukan sahaja menambah kemanisan seorang guru berbangsa Cina, Cheong Suh Ling, malah beliau menganggapnya sebagai lambang perpaduan antara kaum, sekali gus memupuk semangat nasionalisme dalam dirinya.

Mesra disapa 'Cikgu Darling' dalam kalangan murid-muridnya, guru itu berkata, beliau amat menggemari baju tradisional batik seperti baju Kedah dan baju kurung walaupun ia lebih sinonim dengan kaum Melayu kerana coraknya yang cantik dan sesuai dipakai oleh semua kaum.

"Lebih utama, batik adalah seni warisan negara dan lambang identiti rakyat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa.

"Batik juga bukanlah asing bagi saya kerana saya berasal dari Terengganu. Sebelum cuba pakai batik, saya suka lihat orang lain pakai sebab cantik," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa Wei Sin di sini.

Katanya selepas kali pertama memakai baju kurung batik, beliau terus 'jatuh cinta' kerana bukan sahaja coraknya eksklusif, malah materialnya juga sangat selesa untuk cuaca di negara ini yang kebiasaannya panas.

Menurut Cikgu Darling, beliau memiliki beberapa koleksi pakaian batik yang dibeli dan ada juga yang dihadiahkan oleh rakan berbangsa Melayu.

Katanya selepas kerajaan mengeluarkan arahan mewajibkan penjawat awam berbaju batik pada setiap Khamis, beliau tidak berasa janggal atau kekok untuk mengenakan pakaian tersebut, malah berasa bersemangat untuk menggayakan busana bermotif batik.

"Sebenarnya sekolah kami sudah mempraktikkan amalan pemakaian batik pada hari Khamis pertama setiap bulan. Pakaian kami ditaja oleh peniaga batik di Kampung Cina.

"Di sini (sekolah) kami ada 55 guru Cina, Melayu tujuh orang dan India seorang. Semua pun suka batik dan saling bertukar-tukar pandangan kalau ada nak beli pakaian tersebut," kata guru wanita itu yang merupakan guru Sains dan Bahasa Cina.

Sementara itu bagi guru Bahasa Melayu, Yeo Fei Hong, pemakaian batik bukan sahaja dapat menerapkan semangat perpaduan, malah melambangkan keterbukaan dan keharmonian warga SJKC yang bukan sahaja terdiri daripada kaum Cina, malah ada juga kaum-kaum lain.

Menurut Yeo, beliau sendiri memiliki beberapa koleksi baju kurung dan pakaian tradisional ceongsam yang bermotifkan batik.

"Kain batik yang belum jahit pun ada banyak di rumah. Ada yang beli dan hadiah daripada kawan. Bila pakai baju batik rasa kita sama saja… tak ada Cina, Melayu atau India. Guru-guru di sini semua sangat rapat, sudah macam satu keluarga walau berlainan warna kulit dan agama," kata guru wanita itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 2:08 PM