Adun Kelantan pada upacara mengangkat sumpah jawatan. FOTO Facebook Mohd Asri Mat Daud
Adun Kelantan pada upacara mengangkat sumpah jawatan. FOTO Facebook Mohd Asri Mat Daud
BERNAMA

Kota Bharu: Seramai 45 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelantan mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Kelantan Yang Ke-15 di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Majlis angkat sumpah di hadapan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) yang baharu dilantik Datuk Mohd Amar Nik Abdullah didahului oleh Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud (PAS-Meranti) diikuti dengan sembilan EXCO.

Terdahulu, Mohd Nassuruddin mengemukakan nama Mohd Amar (PAS-Panchor) sebagai Speaker Dun Kelantan dan Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi (Bersatu-Kok Lanas) sebagai Timbalan Speaker sebelum disokong Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan (PAS-Temangan) yang juga Timbalan Menteri Besar.

Majlis angkat sumpah diteruskan dengan bekas Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob (PAS-Pasir Pekan); diikuti bekas Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Roslan Wan Hamat (PAS-Pengkalan Kubor).

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan, PAS dan rakan gabungannya dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Bersatu berjaya membentuk kerajaan negeri apabila menang 43 daripada 45 kerusi Dun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 1:35 PM