LELAKI mati ditembak di Jalan Hamzah Alang. FOTO ihsan Polis
LELAKI mati ditembak di Jalan Hamzah Alang. FOTO ihsan Polis
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Klang: Lima suspek ditahan disyaki terbabit kejadian lelaki mati ditembak di Jalan Hamzah Alang, Persiaran Hamzah Alang, di sini, 30 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu berkata, kesemua suspek berkenaan direman empat hari bermula hari ini sehingga 5 September.

"Malam tadi pihak polis berjaya menahan lima lagi lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40-an di sekitar Kapar, di sini.

"Tangkapan dijalankan di sekitar kawasan itu bermula 11 malam sehingga 5 pagi tadi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, seorang lelaki berusia 36 tahun mati ditembak di kawasan rumah kedai dua tingkat, di sini.

Susulan itu, polis menahan penganggur lelaki berusia 20-an yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu di sekitar Kapar, di sini, tengah hari kelmarin.

Vijaya berkata, setakat ini enam suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 12:26 PM