Alias Abd Rani


Muar: Sebuah restoran yang cukup popular di Jalan Sungai Abong, di sini diarahkan tutup 14 hari berkuatkuasa hari ini susulan penemuan najis tikus di tempat menyimpan bahan mentah dalam Ops Bersepadu Premis Makanan Bersih di sekitar daerah ini.

Najis tikus itu didapati sudah kering ditemui sepasukan anggota dan pegawai Kementerian Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) ketika menjalankan operasi bersepadu bermula pada jam 9 pagi.

Selain najis, pemilik restoran terbabit juga didapati mengabaikan kebersihan dengan dapur memasak kelihatan tidak dijaga selain mozek didapati pecah.

Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Muar, Dr Nur Fatimah Aliah Zulkifli, berkata dalam operasi itu juga pihaknya turut mengeluarkan kompaun terhadap perokok yang juga pemilik premis.

Beliau berkata, operasi tertumpu di beberapa lokasi antaranya Jalan Temenggong Ahmad, Jalan Sungai Abong, sekitar bandar Muar serta Jalan Abdul Rahman.

"Sehingga jam 1 petang ini, sebanyak 75 premis diperiksa dengan 11 daripadanya tidak beroperasi manakala satu diarahkan turut serta-merta.

"Sebanyak 53 notis mengikut Seksyen 32B Akta Makanan 1983 dikeluarkan manakala lima notis mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

"Empat perokok serta pemilik premis dikenakan kompaun dengan nilai keseluruhan kompaun dikeluarkan ialah RM13,800," katanya ketika ditemui ketika operasi.

Operasi itu membabitkan semua PKD di negeri ini untuk memastikan makanan disediakan adalah berkualiti, bersih dan selamat dimakan selain mengelak orang awam merokok di kawasan larangan.

Dr Nur Fatimah Aliah berkata, operasi itu juga mendapati masih ada pengendali makanan mengabaikan peraturan termasuk memakai aksesori di jari, tidak menggunakan apron, memakai selipar dan sebagainya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 3:31 PM