Noorazura Abdul Rahman


Sik: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yakin tidak berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu selepas beliau berdepan dengan dua pertuduhan di mahkamah.

Beliau berkata, ini kerana pihaknya yakin akan menang kes berkenaan.

"Saya akan menang kes mahkamah, tak akan ada PRK Jeneri," katanya ketika ditemui selepas selesai membuang undi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Bandar Baharu Beris Jaya di sini hari ini.

Pada 18 Julai lalu, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu dituduh melakukan kesalahan terbabit di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara - Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada 11 malam, 11 Julai lalu.

Beliau turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dalam ceramah sama.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak menjangka akan berlaku saman-menyaman dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Bagaimanapun katanya, beliau bersedia untuk menghadapi kes saman itu dan akan menjawab notis saman yang difailkan Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan dan Berjaya Land.

"Tak bersedia pun kena juga, saya tak jangka berlaku saman-menyaman macam tu dalam pilihan raya, biasanya orang selesai di medan politik lah.

"Tapi nak berlaku saman, kita bersiap sedia, dah lantik peguam semua, saya pun belum dapat butiran lengkap cuma dapat laporan media, kalau dia dah hantar saman, peguam akan jawab, ikut proses dia," katanya.

Selasa lalu, Vincent dan Berjaya Land memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Perkara itu dibuat menerusi firma guaman Tetuan Pierre Chuah & Associates.

Pengurusan kes berkenaan juga telah ditetapkan pada 4 September ini.

Saman itu dibuat berikutan kenyataan Sanusi baru-baru ini yang menyatakan kedua-dua pihak berkenaan adalah korup dan kroni Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta memperoleh tanah seluas 600 hektar secara percuma.

Vincent mendakwa, kenyataan yang berbaur fitnah itu kononnya kedua-dua mereka memberikan manfaat kepada Amirudin sebagai balasan selepas mendapatkan tanah berkenaan secara percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 2:32 PM