Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Sebanyak 63 pusat mengundi dibuka bagi proses pengundian awal Pilihan Raya Umum (PRU) di negeri ini yang bermula 8 pagi ini.

Lebih 22,000 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan masing-masing layak untuk mengundi awal.

Antara kemudahan mengundi awal di negeri ini termasuk di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Jalan Tebrau, di sini serta 10 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negeri selain beberapa pejabat kerajaan turut dijadikan sebagai pusat mengundi.

Anggota tentera pula akan mengundi di Kem Mahkota di Kluang, Kem Tebrau di Ulu Tiram, Kem Batalion ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Batu Pahat dan Kem Rejimen Keempat Artileri Diraja (4RAD) di Segamat.

Anggota PGA dan pasangan masing-masing pula akan mengundi di Batalion ke-5, pasukan PGA di Simpang Renggam di Kluang dan Batalion ke-6 PGA di Bakri, Muar.

Seramai 22,689 pegawai dan anggota polis yang bertugas di seluruh negeri ini akan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dilaporkan berkata, jumlah itu membabitkan anggota polis, tentera dan juga pasangan masing-masing di 63 pusat mengundi dan 86 saluran yang telah disediakan.

PASANGAN suami isteri, Inspektor Nurul Amirah Mohd Azam, 33, dan ASP Afiq Izani, 35, selesai membuat pengundian awal sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
PASANGAN suami isteri, Inspektor Nurul Amirah Mohd Azam, 33, dan ASP Afiq Izani, 35, selesai membuat pengundian awal sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Sementara itu, tinjauan di IPK Johor mendapati hampir 300 anggota serta pegawai polis sudah beratur sejak jam 7.45 pagi tadi bagi menunaikan kewajipan mereka.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Johor Bahru, Johan Arifin Mohd Ropi serta calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, turut hadir ke IPK Johor bagi meninjau proses pengundian awal di situ.

Terdahulu, Kamarul Zaman tiba di Dewan Dato Onn IPK Johor,bagi menunaikan kewajipannya kira-kira 8.57 pagi.

Beliau turut sempat meninjau anggota polis yang sedang beratur di khemah khas sebelum masuk ke dalam dewan untuk mengundi.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman ketika ditemui berkata, semua 63 pusat undi awal yang dibuka di negeri ini berjalan lancar walaupun cuaca mendung.

"Seperti di IPK Johor hari ini, kita menyediakan khemah bagi membolehkan anggota beratur dengan selesa selain dapat berlindung sekiranya hujan.

"Di pusat undi awal di Dewan Dato Onn IPK Johor ini, seramai 1,395 anggota polis akan mengundi di sini.

"Jumlah keseluruhan anggota polis yang mengundi awal di seluruh Johor pula adalah membabitkan 11,544 anggota," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 11:12 AM