D'Anjung Selera Madani Jalan Jujur, Bandar Tun Razak, Cheras.
D'Anjung Selera Madani Jalan Jujur, Bandar Tun Razak, Cheras.
Oleh Nurul Husna Mahmud

Peniaga dan penjaja kecil adalah 'nadi' dalam ekosistem perkembangan ekonomi ibu kota kerana khidmatnya dalam menawar pelbagai keperluan harian masyarakat.

Impak hubungan itu memberi gambaran sumbangan peniaga dan penjaja kecil penting kerana membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Penubuhan Wilayah Persekutuan (WP) sendiri sudah menginjak usia 50 tahun melihat pelbagai insentif dilaksanakan berupaya memperkasakan peniaga dan penjaja kecil di sini, khususnya di WP Kuala Lumpur yang menjadi 'lubuk' rezeki.

Inisiatif seperti Usahawan Muda Kota (UMK), KL Prihatin, Wilayah Bebas Berniaga dilaksanakan seiring dengan peredaran semasa untuk memastikan kebajikan peniaga dan penjaja kecil di WP Kuala Lumpur sentiasa terjamin.

Terbaharu, inisiatif Lestari Niaga@Kuala Lumpur diumumkan Perdana Menteri pada Jun baru-baru ini dan salah satu program di bawahnya adalah pelaksanaan projek pembangunan dan pengindahan semula infrastruktur membabitkan 39,264 penjaja sekitar Kuala Lumpur.

Program menaik taraf fasiliti gerai peniaga kecil dan penjaja sedia ada di WP bukan sekadar memberi manfaat kepada kelompok itu malah kepada seluruh masyarakat umum.

Pada tahun ini, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga menyasar sebanyak 68 lokasi pusat penjaja serta gerai bagi penjaja dan peniaga kecil di seluruh Kuala Lumpur untuk dinaik taraf dengan peruntukan RM30 juta ringgit.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Penjaja D'Anjung Selera Madani Jalan Jujur, Adnan Isnin berkata, inisiatif kerajaan terutama projek pembangunan dan pengindahan semula infrastruktur penjaja memberi manfaat serta-merta kepada 27 peniaga di kawasan itu.

"Banyak isu terutama kebersihan dan keselamatan penjaja serta pengunjung berjaya ditangani secara tidak langsung menerusi inisiatif terbabit.

"Paling ketara kemudahan rumah sampah dan pembinaan ruang parkir kenderaan sebanyak 48 petak dilihat keperluan penting dalam memastikan pengunjung kembali ke lokasi ini.

"Lebih penting apabila DBKL turut memberi penurunan kadar sewa gerai daripada RM400 kepada RM200, sekali gus mengurangkan beban penjaja yang terkesan dengan kenaikan kos barangan harian," katanya.

Tinjauan Harian Metro di D'Anjung Selera Madani Jalan Jujur yang menjadi projek pertama membabitkan penaiktarafan 24 unit gerai dan tiga unit kios dilengkapi dengan fasiliti serba moden dan tersusun itu mendapat reaksi positif dalam kalangan penjaja dan pengunjung.

Medan selera yang siap sepenuhnya pada Oktober 2022 dengan peruntukan sebanyak RM7.2 juta itu juga memberi manfaat kepada penjaja tepi jalan apabila memiliki ruang berniaga lebih luas dan teratur.

Pasangan suami isteri, Norlia Baba, 61 dan Sahar Pandak yang juga penjaja buah potong bersyukur ditawarkan kios dalam bangunan baru terbabit.

"Rezeki setelah 30 tahun jual buah dan cendol di tepi jalan, baru kali ini ditawarkan kios berniaga dalam bangunan D'Anjung Selera Madani Jalan Jujur.

"Medan selera kini bukan sahaja bangunan baru tetapi juga lengkap dengan kemudahan asas lain seperti lampu dan kipas.

"Kalau berniaga tepi jalan, sumber air jauh dan tiada bekalan elektrik. Belum masuk cuaca buruk lagi yang menjadi punca kadang-kala pendapatan kami terjejas," katanya.

Menurut pengunjung tempatan, Syed Ahmad Shah Syed Hussein, 39, medan selera baru itu jauh lebih selesa kerana dilengkapi kemudahan penting untuk keselesaan pengunjung.

"Saya gembira dengan usaha kerajaan apabila membangun dan memperindahkan semula gerai penjaja di D'Anjung Selera Madani Jalan Jujur terutama mendirikan ruang parkir khas untuk pengunjung di sini.

"Isu parkir antara masalah kritikal pengunjung di sini. Ia diselesaikan apabila petak parkir D'Anjung Selera Madani Jalan Jujur memiliki sistem berpalang dan berbayar.

"Sebelum ini petak parkir terbabit percuma, membuatkan segelintir pihak menjadikan petak umum itu sebagai parkir persendirian dan meletakkan kenderaan mereka untuk satu tempoh yang lama," katanya.

Pengunjung dari Puchong, Navin Kumar Nadarajan, 65, gembira apabila dapat menikmati suasana medan selera yang bersih dan terjaga.

"Dulu suasana anjung selera ini tidak kondusif kerana keadaan fasiliti seperti meja makan dan kerusi terlalu uzur selain ruang kedai gelap serta panas.

"Kini medan selera ini nampak ceria dan cantik selain dilengkapi kemudahan lain seperti tandas. Kalau bawa rakan dari luar Kuala Lumpur untuk makan di sini juga tidak perlu berasa malu kerana persekitarannya bersih dan selesa," katanya.

Di bawah inisiatif Lestari Niaga@Kuala Lumpur juga, DBKL memberi nafas baharu kepada Wilayah Bebas Berniaga melalui penjenamaan semula kepada Lesen KL Madani. Dalam usaha memperkasakan peniaga dan penjaja kecil Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Lesen KL Madani dilanjutkan bagi pembaharuan lesen sahaja untuk tempoh setiap enam bulan secara berterusan mulai 1 Julai 2023.

Seramai 822 pelesen sedia ada menikmati manfaat ini melalui bayaran fi lesen sebanyak RM20 dan caj perkhidmatan sebanyak RM30 selaras dengan tempoh dan kadar lesen sementara sedia ada yang melibatkan lokasi tumpuan (hotspot) dan lokasi pelbagai.

Inisiatif tambahan dan berterusan yang diperkenalkan adalah usaha berterusan JWP dan DBKL sejak dari dulu hingga kini dalam meringankan beban penjaja dan peniaga kecil di WP Kuala Lumpur selain menyumbang kepada ekonomi negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 7:01 AM