Ahmad Hasbi

Seremban: Saksi ke-23, ibu kepada Baby Syifaa, Anida Idrus, 42, pada inkues kematian bayinya, tidak dapat menahan sebak ketika memberikan keterangan di Mahkamah Koroner, di sini, hari ini.

Malah, pada permulaan sesi di hadapan Koroner Datin Surita Budin, Anida terlebih dahulu memohon maaf kepada mahkamah sekiranya dia gagal mengawal emosi ketika memberikan kenyataan.

"Saya dalam keadaan bersedia hari ini, cuma mungkin kalau ada sedikit emosi harap mahkamah faham," katanya ketika ditanya Pegawai Pengendali Zahida Zakaria sama ada dia sudah bersedia memberikan kenyataan, hari ini.

Saat menyentuh emosi di kamar berkenaan juga apabila Anida dilihat menatap baju yang dipakai anaknya ketika kejadian sebelum menekap pakaian itu ke mukanya apabila diminta membuat pengecaman.

Menjawab soalan Zahida sama ada Anida mengetahui bahawa pusat asuhan berkenaan berdaftar atau sebaliknya, pensyarah perguruan dalam bidang perkembangan kanak-kanak itu menganggap pengasuh taska itu menipunya.

"Pada 2018, saya tanya pasal pendaftaran taska, saya dimaklumkan ia berdaftar masa saya hantar kakak Syifaa dan saya nampak sijil adik dia (Nadzirah Ahmad Damanhuri) dipamerkan di ruang taska.

"Saya tahu adik dia ada diploma dalam bidang kanak-kanak. Saya juga dalam bidang sama, sudah pasti saya nak carikan tempat yang terbaik untuk anak saya, saya pastikan ia berdaftar, jadi saya tanya," katanya.

ANIDA pada inkues kematian bayinya di Mahkamah Koroner Seremban. FOTO Ahmad Hasbi
ANIDA pada inkues kematian bayinya di Mahkamah Koroner Seremban. FOTO Ahmad Hasbi

Anida menjelaskan, selepas melahirkan Syifaa, dia memberitahu perkara itu kepada pengasuh, Khairulnissa Ahmad Damanhuri dan bertanya sama ada dia boleh menjaga Syifa.

Katanya, Khairulnissa memberitahu dia boleh menjaga Syifa kerana pada ketika itu dia menjaga dua bayi dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membenarkan tiga bayi dijaga dalam satu masa bagi bayi umur seperti Syifaa.

"Itu meyakinkan saya bahawa mereka memang berdaftar. Kalau tak daftar, buat apa nak ikut sangat kata JKM. Saya anggap dia tipu saya," katanya.

Zahida juga bertanya kepada Anida sama ada mempunyai apa-apa masalah dengan Khairulnissa, dia menjawab bahawa dia tiada masalah dengan pengasuh itu sejak mengenalinya pada 2018.

"Kenal dari 2018 ketika hantar anak pertama ke taska itu dan jaga kakak Syifaa sehingga Disember 2018. Asalnya saya tiada masalah dengan dia, saya tak tahu kalau dia ada masalah dengan saya.

"Pada Hari Guru saya bagi hadiah. Raya saya bagi biskut raya. Pergi pasar malam saya belikan makanan.. saya lambat saya maklumkan, bayar OT (overtime atau kerja lebih masa). Saya tak ada masalah dengan dia," katanya.

Inkues ditangguhkan dan bersambung pada 29 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 5:09 PM