MUHYIDDIN. FOTO Arkib BERNAMA
MUHYIDDIN. FOTO Arkib BERNAMA
Mohd Amin Jalil

Tampin: Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan manifesto bagi Selangor pada Jumaat ini sebagai tawaran kepada pengundi di negeri itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setiap negeri yang terbabit dalam PRN akan diketengahkan dengan manifesto masing-masing.

Kata beliau, satu manifesto untuk Negeri Sembilan juga akan dilancarkan tidak lama lagi yang membabitkan pelbagai perkara untuk kepentingan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.

"Kita (PN) akan lancarkan manifesto untuk Negeri Sembilan. Jumaat ini, saya akan lancarkan manifesto untuk Selangor dulu dan kemudian, negeri-negeri lain juga akan ada manifesto masing-masing.

"Di Negeri Sembilan, kita akan memperkenalkan beberapa perkara dalam manifesto termasuk bangunkan ekonomi, pendidikan, sosial dan bidang-bidang lain.

"Bila mana kita (PN) dapat membentuk kerajaan negeri ini, kita akan pimpin supaya setiap masyarakat dalam keadaan apa sekalipun yang memerlukan bantuan, kita akan usahakan dengan sebaik-baiknya. Ini janji kami dan bila kami berjanji, kami akan laksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana Peringkat Parlimen Tampin di Felda Jelai 4, Gemas dekat sini, malam tadi.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, rakyat pelbagai kaum di Negeri Sembilan berhak mendapat pembelaan seadilnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, masalah kos sara hidup yang tinggi termasuk harga barangan yang terus melambung masih membelenggu rakyat negara ini.

"Tiada benda yang turun, semuanya naik, pendapatan kita tidak bertambah, masih ramai yang tiada pekerjaan, belia tiada pekerjaan, ibu bapa yang menanggung mereka tidak mampu nak uruskan nasib keluarga.

"Dulu bila pergi ke pasar, RM100 boleh dapat satu troli, sekarang suku troli pun tak ada, sebab barang sudah terlalu mahal.

"Soalan pokok inilah yang patut diuruskan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 1:13 PM