ALEXANDER (tengah) pada sidang media selepas lawatan tapak LPB Sabah bagi Pakej Kerja 4 Menaik Taraf Jalan Bongawan - Papar. FOTO Rafiqah Dahali
ALEXANDER (tengah) pada sidang media selepas lawatan tapak LPB Sabah bagi Pakej Kerja 4 Menaik Taraf Jalan Bongawan - Papar. FOTO Rafiqah Dahali
Rafiqah Dahali


Papar: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bakal memulakan Jelajah Kembara Borneo yang dijadualkan bermula di Sabah pada September ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, susulan itu, pihaknya turun memantau persediaan serta prestasi berkaitan pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1A, penyenggaraan projek dan jalan persekutuan, hari ini.

"Tujuan kami datang ke Sabah ini adalah untuk berbincang perkara berkaitan persediaan program bulan depan iaitu, Yang di-Pertuan Agong akan bermula (Jelajah Kembara Borneo) dari Tawau melalui sepanjang jalan LBP Sabah sampailah Teluk Melanau di Kuching, Sarawak selama beberapa hari.

"Jadi perlulah banyak tinjauan kerja untuk menjaminkan keselamatan dan keselesaan sehingga LPB ini siap. Saya difahamkan kerja-kerja yang perlu dilakukan ini sedang dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas lawatan tapak LPB Sabah bagi Pakej Kerja 4 Menaik Taraf Jalan Bongawan - Papar, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya, dua Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury dan Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan pihaknya difahamkan bahawa tujuan utama baginda adalah untuk merasai sendiri pengalaman melalui jalan LPB di Sabah dan Sarawak.

"Kita difahamkan itulah tujuan utama Yang di-Pertuan Agong. Yang di-Pertuan Agong tahu projek ini belum siap. Di Sarawak, boleh dikatakan LBP siap 97 peratus cuma di Sabah ini ia bermula lewat sedikit pada 2016 sementara Sarawak bermula pada 2015.

"Tetapi banyak isu lain yang memberi kesan kelewatan pakej di Sabah ini bermula pelaksanaannya. Apabila kami bermesyuarat pagi tadi, diakui di Sabah ini ada sedikit masalah dengan kekurangan bahan binaan yang agak terhad.

"Jadi, saya sudah mengarahkan supaya semua pihak melihat kepada masalah ini berbincang dengan pembekal iaitu Shell dan Petronas agar mereka buat yang terbaik," katanya.

Susulan itu, beliau berkata, pihaknya berharap syarikat kontraktor pelaksana untuk projek LPB akan dilantik penghujung tahun ini dan menyasarkan kerja pembuatan jalan dilaksanakan secara serentak pada tahun hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 2:59 PM