Harisuddin Zawayi mengusahakan tanaman cili kampung di tanah milik keluarganya. FOTO Ihsan Muhammad Harisuddin Zawayi
Harisuddin Zawayi mengusahakan tanaman cili kampung di tanah milik keluarganya. FOTO Ihsan Muhammad Harisuddin Zawayi
Redzuan Muharam


Besut: Memiliki pendidikan dan kelulusan dalam bidang kejuruteraan penyaman udara Institut Kemahiran Mara (IKM) namun ia bukan penghalang buat seorang pemuda bergelar [usahawan cili'.

Muhammad Harisuddin Zawayi, 27, dia nekad menceburi bidang pertanian dengan mengusahakan tanaman cili kampung di tanah milik keluarganya.

Percubaan anak sulung daripada lima beradik itu ternyata tidak sia-sia apabila dia kini memiliki kira-kira 500 pokok cili kampung.

Kesungguhannya mengusahakan tanaman itu dapat dilihat menerusi perkongsian video di TikTok yang menarik perhatian ramai.

Bercerita lanjut, Muhammad Harisuddin berkata, dia mulanya menjadi perunding hartanah selepas tamat belajar.

Melihat peluang yang ada dalam bidang pertanian, Muhammad Harisuddin nekad memulakan langkah dengan menanam sebatang pokok cili.

"Kebetulan, keluarga memiliki tanah kosong yang tidak diusahakan. Saya kemudian melaburkan wang simpanan bagi mengusahakan ladang tanaman. Saya memilih pokok cili kampung kerana tidak ramai yang menanamnya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Muhammad Harisuddin atau dikenali Abang Lada dalam kalangan pengikut di TikTok, memaklumkan tidak menyertai mana-mana kursus atau program penanaman cili ketika mula terbabit dalam bidang pertanian.

Harisuddin Zawayi dapat bimbingan daripada petani lebih berpengalaman. FOTO Ihsan Muhammad Harisuddin Zawayi
Harisuddin Zawayi dapat bimbingan daripada petani lebih berpengalaman. FOTO Ihsan Muhammad Harisuddin Zawayi

"Sebaliknya, saya banyak mendapatkan khidmat nasihat daripada petani lama yang mengusahakan tanaman itu sejak lebih 10 tahun lalu.

"Alhamdulillah, mereka tidak kedekut ilmu. Malah mereka banyak memberi tunjuk ajar dan bimbingan berkaitan penanaman cili," katanya yang pernah menyambung pengajian di Jepun selama tiga bulan dalam bidang teknologi kejuruteraan penyaman udara kelolaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Pertubuhan Perindustrian, Lanjutan Rohaniah dan Kebudayaan Antarabangsa (OISCA).

Berhubung perkongsian di TikTok, Muhammad Harisuddin berkata, video dimuat naiknya sekadar untuk berkongsi minat di platform berkenaan.

"Alhamdulillah, ramai beri maklum balas positif malah ada dalam kalangan pengikut sudah mula menanam cili kampung.

"Malah saya terima banyak kiriman mesej (DM) daripada petani yang bertanya cara menanam cili ini," katanya.

Berkongsi hala tujunya, Muhammad Harisuddin merancang mengembangkan lagi perusahaan tanaman itu.

"Jika ada rezeki memang nak kembangkan lagi dan setakat ini, saya gunakan modal sendiri saja dan belum terima atau mohon dana daripada mana-mana pihak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 4:45 PM