MUHAMMAD Shakir ketika sidang media selepas berkempen di Senawang. FOTO Azrul Edham
MUHAMMAD Shakir ketika sidang media selepas berkempen di Senawang. FOTO Azrul Edham
Ahmad Hasbi


Seremban: Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Paroi, Muhammad Syakir Fitri Sadri (Bebas) menafikan menjadi proksi mana-mana pihak bagi memecah undi di kawasan berkenaan.

Perkara itu timbul susulan calon paling muda di Negeri Sembilan itu pernah berkhidmat dengan penyandang Dun berkenaan, Datuk Mohamad Taufek Abdul Ghani (PH-Amanah) yang tidak disenaraikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Muhammad Syakir Fitri berkata, dia juga menafikan sekeras-kerasnya menerima tajaan daripada mana-mana individu tertentu terutama Mohamad Taufek sendiri untuk bertanding.

"Pembabitan saya ini tidak kena-mengena dengan mana-mana pihak ataupun individu. Ada yang fikir saya dihantar sebagai proksi bertujuan untuk memecah undi," katanya ketika ditemui di Senawang, di sini, hari ini.

Graduan jurusan Diploma Pemasaran dari Polikteknik Port Dickson itu berkata, perbelanjaan untuk menjadi calon dan berkempen tidak ditaja, malah menggunakan wang sendiri.

"Boleh semak sendiri rekod dan saya sendiri bukan orang berduit atau berasal daripada keluarga berada. Cuma ada beberapa pihak yang menyumbang, jumlahnya tidak banyak, tetapi ramai memberi sumbangan.

"Orang memberi sumbangan juga bukan orang kaya. Bukan daripada parti politik, cuma mereka yang mahu melihat saya berjuang untuk anak muda di kawasan ini," katanya.

Malah sambil mengesat air mata dia menafikan dakwaan kononnya dia terbabit salah guna projek kerajaan negeri ketika berkhidmat dengan Exco Pembangunan Belia dan Sukan itu.

"Misi saya adalah untuk memperkasakan golongan belia selaras dengan pelaksanaan undi 18. Terdapat 20,000 pengundi baru daripada golongan berkenaan di kawasan Paroi ini," katanya.

Dun Paroi menyaksikan pertembungan tiga penjuruantara Norwani Ahmat (PH-Amanah), Kamarol Ridzuan Mohd Zin (PN-Pas) dan Syakir Fitri (Bebas).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 7:06 PM