DANNI Rais. FOTO Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid.
DANNI Rais. FOTO Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Seremban: Tidak mahu mengambil mudah, calon Perikatan Nasional (PN) Danni Rais bertekad melakukan terbaik bagi memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Klawang.

"Dalam politik, hari ini mungkin dia (pengundi) suka kita, tapi esok mungkin dia tak suka. Jadi, kita akan lakukan yang terbaik.

"Semua kelompok, semua kampung, semua pusat daerah mengundi, semua lokaliti harus kita masuk dan juga kita tak boleh hanya fokus kepada Melayu sebagai contoh.

"Rakan-rakan Cina, India dan Orang Asli harus kita pamerkan kepada mereka yang terbaik," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengisytiharan Calon PN Negeri Sembilan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, malam ini.

Terdahulu, Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan Danni yang juga anak bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim sebagai calon mewakili gabungan itu bagi PRN Negeri Sembilan bersama 33 calon lain.

Danni dijangka berhadapan sepupunya yang juga penyandang kerusi Dun Klawang, Datuk Bakri Sawir (Pakatan Harapan).

Mengulas saingan itu, beliau berkata, tidak mempunyai masalah bersaing dengan Bakri.

"Perbezaan politik ini bukan perkara baharu. Sebelum ini memang ada banyak contoh yang sama keluarga berlawan (dalam pilihan raya).

"Tetapi (segala) apa yang akan berlaku pada hari keputusan itu, kita akan terima," katanya.

PRN enam negeri akan berlangsung 12 Ogos, dengan penamaan calon ditetapkan Sabtu ini dan pengundian awal pada 8 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 11:29 PM