Noorazura Abdul Rahman


Kubang Pasu: Kedah akan mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut bayaran caj air mentah sekiranya Pulau Pinang terus enggan mengadakan rundingan mengenai perkara itu.

Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tindakan membawa hal itu ke mahkamah adalah jalan terakhir yang akan dilakukan, namun pihaknya masih berharap ada jalan perundingan dengan negeri berkenaan.

"Buat masa ini kita pilih cara berunding dulu, kerajaan Kedah dengan kerajaan Pulau Pinang, kita sama-sama dalam Malaysia juga, nak keras tara (setakat) mana sangat.

"Tetapi, sekiranya menemui jalan buntu, isu ini boleh dibawa ke mahkamah dan itu merupakan jalan terakhir yang akan diambil kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Kompleks PAS Jerlun di Kampung Lana Bulu, Ayer Hitam di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan Pulau Pinang seharusnya tidak mengelak rundingan apatah lagi, negeri itu pernah menjadi sebahagian daripada Kedah, suatu ketika dahulu.

Gambar fail, Muhammad Sanusi. FOTO Arkib NSTP.
Gambar fail, Muhammad Sanusi. FOTO Arkib NSTP.

"DO (Pegawai Daerah) saja yang ada situ kalau tak terpisah, tapi nak buat macam mana," katanya yang dilapor sebelum ini membuka pintu rundingan sebelum isu itu dibawa kepada campur tangan Persekutuan.

Semalam, Timbalan Ketua Menteri II Dr P Ramasamy dalam kenyataannya dilapor berkata, kerajaan Pulau Pinang tetap dengan pendirian tidak akan membayar sebarang caj kepada Kedah atas pengambilan air dari Sungai Muda.

Katanya, tidak ada tanda Pulau Pinang akan memberi sumbangan, bahkan tiada rundingan atau perbincangan jika hak air negeri itu tidak dihormati.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2020 @ 1:22 PM