KEADAAN tanah sawah yang lembut. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
KEADAAN tanah sawah yang lembut. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Parit Buntar: Penantian pesawah di Kuala Kurau selama enam bulan hanya sia-sia apabila kira-kira 70 hektar sawah padi yang diusahakan tidak dapat dituai sepenuhnya akibat masalah tanah lembut.

Keadaan itu menyebabkan ada pesawah terpaksa membiarkan padi yang masak rosak menyembah bumi apabila jentera menuai tidak dapat digunakan.

Pesawah, Muhamad Saiful Ahmad, 42, berkata ini musim kedua berturut-turut sawah padi yang diusahakan tidak dapat dituai sepenuhnya akibat tanah menjadi lembut sehingga menyebabkan jentera menuai terbenam.

Menurutnya pesawah terpaksa menggunakan kaedah lama dan mengeluarkan kos yang lebih tinggi untuk menuai.

"Jentera menuai tidak dapat masuk menyebabkan pesawah terpaksa menuai padi secara manual tetapi memandangkan sawah yang luas menyebabkan tidak semua padi dapat dituai.

"Upah juga tinggi. Nak upah orang pun belum tentu ada yang sanggup dan kalau ada pun mahal iaitu sekitar RM100 sehari," katanya.

Seorang lagi pesawah Fazlee Azis,35, berkata dia mengeluarkan kos yang tinggi tahun lalu bagi memulihkan tanah, namun sia-sia.

"Parit sudah dibuat, batas pun dah buat tapi masalah tak selesai. Hanya separuh sahaja sawah dapat dituai kerana jentera terbenam.

"Kami harap pihak berkaitan dapat membantu pesawah bagi memulihkan tanah di sini," katanya.

Tinjauan Harian Metro di beberapa kawasan khususnya di Kuala Kurau, Batu 14, Sungai Baru, Parit Abas dan beberapa lagi kawasan mendapat sememangnya banyak sawah padi tidak dapat dituai penuh.

Majoriti pesawah yang ditemui mengeluh apabila hasil tanaman mereka terpaksa dibiarkan begitu sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 11:13 AM