Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Tiga wanita termasuk dua guru taska dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dakwaan mendera bayi dan kanak-kanak di bawah jagaan mereka, minggu lalu.

Wan Suhaila Mior Khir, 32, dan Noor Shafina Abdul Khair, 26, masing-masing didakwa atas tiga serta dua pertuduhan mendera bayi dan kanak-kanak berusia tujuh bulan hingga dua tahun empat bulan, mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu.

Mengikut pertuduhan, Wan Suhaila didakwa melakukan penganiayaan menyebabkan kesakitan termasuk mengakibatkan kecederaan terhadap kanak-kanak berumur tujuh, 26, dan dua tahun empat bulan.

Guru taska itu didakwa melakukan perbuatan menyentap rambut mangsa dengan kuat, menampar pipi, menarik tangan, memusingkan badan, menolak mangsa jatuh ke lantai hingga menyebabkan lebam di kedua-dua belah pipi, serta menolak dan menekan kepala mangsa ke bantal.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh antara jam 4.15 petang 4 Julai lalu sehingga jam 2.16 petang 6 Julai lalu.

Manakala seorang lagi guru taska, Noor Shafina didakwa melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak berumur 21 dan 29 bulan, antaranya dengan cara menindan badan mangsa yang sedang tidur, menjadikan mangsa sebagai alas meletakkan kepala, menampar paha kanan mangsa secara kasar, menarik belakang baju mangsa lalu menyarungkan ke kepala mangsa, menarik rambut, menampar pipi mangsa ketika tidur, dan memukul belakang badan mangsa.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan oleh Noor Shafina antara jam 2.14 petang hingga 4.18 petang, 6 Julai lalu.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan kedua-dua tertuduh di alamat Taska Nur Raihan di No.1, Laluan Meru Perdana 5, Taman Meru Perdana 2, Chemor, di sini.

Keenam-enam pertuduhan itu masing-masing dibaca mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) Akta yang sama, yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. S. Evangelin di hadapan Hakim, Ainul Shahrin Mohamad, manakala Wan Suhaila diwakili peguam, Raja Mohd Iskandar Zulkharnian Raja Abdul Malek sementara Noor Shafina diwakili peguam, Mohammad Syarifuddin Zaid.

Mahkamah membenarkan jaminan terhadap Wan Suhaila sebanyak RM8,000 manakala bagi Noor Shafina sebanyak RM7,000 serta menetapkan 16 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu di mahkamah berasingan, pemilik taska iaitu Rozidah Yahaya, 51, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azizah Ahmad terhadap tuduhan meninggalkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 29 bulan di bawah jagaan taska itu tanpa pengawasan sehingga menyebabkan kanak-kanak itu cedera di lengan kiri.

Perbuatan itu dilakukan di taska yang sama antara jam 4.14 petang hingga 4.15 petang, 6 Julai lalu.

Pertuduhan dibaca juga mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, K. Darinee, manakala tertuduh diwakili peguam Muhd Alif Afandi dan Mohamad Salihen Mastor.

Mahkamah membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin terhadap Rozidah selain menetapkan syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis terdekat sebulan sekali serta menetapkan tarikh sebutan semula kes juga pada 16 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 2:13 PM
Pemilik, guru taska mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendera bayi dan kanak-kanak jagaan mereka. FOTO L Manimaran
Pemilik, guru taska mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendera bayi dan kanak-kanak jagaan mereka. FOTO L Manimaran