GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Sebanyak 12 acara menarik disusun sempena Bulan Menyantuni Mualaf 2023 anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sepanjang bulan ini.

Dalam satu kenyataan, Jawi berkata, ia termasuklah Korban Mualaf Madani, Khutbah Khas Mualaf, Karnival Harmoni Madani, Ziarah Rahmah Madani, dan Konvensyen Mualaf 2023.

Katanya, ia diadakan bertujuan untuk menyebarkan keindahan ajaran Islam serta memberikan penjelasan dan kefahaman kepada mualaf mengenai syariat Islam.

"Selain ia juga diadakan untuk menyantuni mualaf dengan pelbagai aktiviti pengimarahan masjid.

"Matlamat lain adalah menjalinkan kolaborasi strategik antara agensi, badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat awam dalam usaha dakwah terhadap golongan mualaf," katanya.

Menurutnya, ia selaras dengan agenda yang ditetapkan Pelan Strategik Mualaf Wilayah Persekutuan Tahun 2022-2026.

Katanya, program berkenaan menyasarkan penyertaan dalam kalangan mualaf dan masyarakat awam sekitar Wilayah Persekutuan khususnya pelajar di Kompleks Darul Hidayah (KDH) iaitu sebuah pusat perlindungan sementara dan bimbingan mualaf.

"Antara lain, Khutbah Khas Mualaf bertemakan Santuni Saudara Baharu akan dibacakan serentak di 90 buah masjid dan 135 surau Jumaat seluruh Wilayah-Wilayah Persekutuan pada 14 Julai 2023.

"Ziarah Rahmah Madani pula adalah program turun padang bagi menyampaikan bantuan sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan asas kepada keluarga mualaf di sekitar ibu negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 1:58 PM