Saifuddin Nasution ketika sidang media khas di Putrajaya. Turut kelihatan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ruji Ubi. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Saifuddin Nasution ketika sidang media khas di Putrajaya. Turut kelihatan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ruji Ubi. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengesahkan dua wanita warga China yang terkait dalam insiden kekecohan di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ini sudah pulang ke negara asal pada 4 Julai lalu.

Beliau turut menegur laporan bercanggah berkait keberadaan dua wanita itu yang tular di media sosial.

"Maklumat itu bercanggah dengan kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang memberi kenyataan wanita itu sudah keluar (dari negara ini).

"Faktanya, wanita itu pulang menerusi syarikat penerbangan Shenzen Airlines ZH9030 jam 8.55 malam. Itu dicatatkan dalam rekod imigresen," katanya tadi.

Wanita terbabit sebelum ini dikaitkan dengan tindakan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang didakwa menerjah masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ini.

Dia dikatakan cuba 'melepaskan' masuk seorang wanita warga China yang dilarang memasuki negara ini oleh pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

King Sing bagaimanapun mendakwa tindakannya itu dilakukan susulan wujud budaya rasuah membabitkan segelintir pegawai JIM di pintu masuk negara KLIA.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut mengakui unsur rasuah di KLIA membabitkan pegawai penguatkuasa masih berlaku tetapi ia adalah satu 'budaya lama' yang masih diteruskan oleh hanya segelintir pegawai penguatkuasa.

Selain SPRM siasatan kes berkenaan juga turut dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 8:12 PM