PANGLIMA Tentera Darat Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman menyampaikan ucapan pada Majlis Perbarisan Penyerapan Pegawai dan Anggota Sukarela di Padang Kawad Kementah hari ini. FOTO Bernama
PANGLIMA Tentera Darat Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman menyampaikan ucapan pada Majlis Perbarisan Penyerapan Pegawai dan Anggota Sukarela di Padang Kawad Kementah hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak RM110 juta akan diperuntukkan bagi membaik pulih dan menyelenggara bangunan yang uzur dan rumah anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) di seluruh negara.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, ia adalah sebahagian daripada RM200 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membaik pulih dan menyelenggara rumah anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), baru-baru ini.

"TDM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan terutama Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan kerana meluluskan peruntukan sebanyak RM200 juta kepada ATM.

"Namun, difahamkan sebanyak RM110 juta daripada jumlah itu akan diperuntukkan kepada TDM untuk digunakan bagi memperbaiki dan menambah baik serta menyelenggara rumah-rumah keluarga, bangunan penginapan dan lain-lain (premis) yang dilihat membantu tentera darat menaik taraf bangunan usang sedia ada.

"Ini penting kerana ia dapat meningkatkan moral anggota tentera darat dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diberikan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir Perbarisan Penyerapan Pegawai dan Anggota Sukarela Yang Dipertugaskan Sepenuh Masa Ke Dalam Angkatan Tetap di Padang Kawad Kem Kementah, di sini, hari ini.

Seramai 26 Pegawai dan 468 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diserap ke dalam 15 Kor dan Rejimen dalam TDM selepas mendapat kelulusan Majlis Angkatan Tentera (MAT) Ke-608 yang bersidang pada 14 Jun lalu dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Penyerapan pegawai dan anggota LLP ke dalam angkatan tetap ini dapat membantu menjaga kebajikan mereka melalui pembayaran pencen dan peluang untuk melanjutkan pelajaran di bawah tajaan perkhidmatan.

"(Mereka juga) berpeluang untuk berkhidmat di luar negara, kemudahan untuk membuat pinjaman perumahan kerajaan dan lain-lain kemudahan yang tidak disediakan kepada pegawai dan anggota sukarela yang dipertugaskan sepenuh masa," katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023, kerajaan mengumumkan peruntukan lebih RM500 juta bagi menyelenggara Rumah Keluarga ATM dan membaik pulih kuarters kediaman dan institusi di bawah Kementerian Dalam Negeri termasuk Polis Diraja Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 3:48 PM