BENDERA UMNO. FOTO arkib NSTP
BENDERA UMNO. FOTO arkib NSTP
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Umno akan bertanding di 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Pembahagian kerusi membabitkan Umno dan Pakatan Harapan (PH) menyaksikan jumlah kerusi dimonopoli oleh Umno, manakala PH diberikan 14 kerusi iaitu masing-masing tujuh untuk Amanah dan PKR.

Daripada jumlah kerusi yang ditandingi Umno, tujuh kerusi disandang oleh Umno iaitu Dun Kok Lanas, Gual Ipoh, Bukit Bunga, Nenggiri, Kuala Balah, Paloh dan Galas.

Untuk mempertahankan kerusi sedia ada dilihat peluang agak cerah buat parti itu, namun adakah misi Umno untuk menawan Kelantan berjaya pada PRN kali ini selepas 33 tahun negeri itu diterajui PAS.

Sehingga kini, berbaki 33 hari menuju hari pengundian, Umno masih dilihat berdiam diri daripada sebarang program politik, berbanding pihak lawan yang jauh lebih agresif.

Pada PRN kali ini, Umno dikatakan akan menampilkan sehingga 80 peratus calon baharu dengan kebanyakannya adalah anak muda yang mampu meraih keyakinan rakyat.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yakub juga dijangka akan bertanding di satu daripada Dun di dalam Parlimen Machang.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Dr Rusdi Omar menyifatkan tidak mustahil untuk Umno menang di Kelantan sekiranya parti itu melakukan perubahan drastik.

"Jika perubahan drastik dilakukan, mungkin jumlah kerusi yang sedia ada boleh bertambah dan perlu diingat, sokongan anak muda adalah penting.

"Perubahan drastik adalah daripada segi meletakkan calon. Jangan meletakkan calon yang sudah berulang kali kalah sebaliknya tumpu kepada calon muda kerana itu yang dimahukan pengundi.

"Manifesto yang dibentangkan Umno juga memainkan peranan penting bagi memperoleh keyakinan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 1:18 PM