Redzuan Muharam


Jelebu: Ilmu dan pengalaman yang ditimba dalam bidang maritim sejak 21 tahun lalu tidak disia-siakan Mizi Al Hafiz.

Sebaliknya, bapa empat anak yang kini bertugas sebagai pegawai navigasi itu memilih platform TikTok bagi berkongsi pengalaman mengenai kehidupan sebagai pelaut dan bagaimana untuk menjadi seorang pelaut kepada mereka yang berminat.

Percubaannya itu berhasil dan buktinya, dia yang dikenali sebagai Captain Mizi dalam kalangan pengikutnya sudah mengumpul lebih 153,000 pengikut di TikTok.

Berkongsi kisahnya, Mizi, 40, berkata, minat mendalam yang mendorongnya menceburi bidang maritim dan dia bersyukur kerana mendapat restu keluarga.

"Cabaran utama tentunya berjauhan dengan keluarga kerana kebiasaannya kita akan berada di laut selama empat ke enam bulan sebelum kembali ke darat.

"Bagi mereka pertama kali naik dan bekerja di atas kapal memang mencabar kerana masalah mabuk laut dan juga makanan yang mungkin tidak kena dengan tekak, tambah pula dengan persekitaran berbeza, namun lama kelamaan kita akan dapat biasakan diri.

"Rekod paling lama saya berada di laut adalah selama 14 bulan namun demi mencari rezeki untuk keluarga, saya redah saja," katanya.

Menurut Mizi, minat saja tidak cukup kerana seorang pelaut perlu ada kesungguhan selain ketahanan mental dan fizikal yang kuat untuk berada di tengah laut

"Bagi saya, laut itu sendiri adalah tempat yang berbahaya. Jadi, mental kena kuat dan sebagai pegawai navigasi, tugas saya adalah memastikan kapal berlayar dari satu destinasi ke destinasi seterusnya dengan selamat bersama anak kapal juga muatan di dalamnya.

"Bagaimanapun, pengalaman itu yang berharga sebenarnya kerana bukan semua orang dapat merasainya," katanya.

Berhubung perkongsiannya di TikTok pula, Mizi berkata, niatnya bukan untuk mendabik dada sebaliknya sekadar berkongsi ilmu yang ada.

"Perkongsian itu lebih kepada memberi bagi pendedahan kepada yang menonton mengenai ilmu kelautan, bagaimana nak bertahan dan banyak lagi.

"Alhamdulillah, kebanyakan komen diterima positif tidak kira daripada generasi baharu mahupun pelaut lebih berpengalaman.

"Salah satu sebab yang membuatkan saya ingin terus berkongsi ilmu di TikTok adalah kerana adanya permintaan dan melihat ramai yang ingin tahu kisah di sebalik kerjaya sebagai pelaut selain ada yang berminat menceburi kerjaya dalam bidang maritim," katanya.

Menceritakan hala tujunya, Mizi berkata, dia ada perancangan untuk mencari angin baru dalam bidang pekerjaan namun belum ada rezeki ke arah itu.

"Ikutkan, sudah lama saya rancang nak berhenti kerja cuma belum ada peluang lain. Macam nak bercucuk tanam kerana sudah lama sangat dekat laut lihat pemandangan biru jadi teringin pula nak tengok suasana hijau.

"Apa pun, saya bertahan dulu kerana banyak juga belajar ilmu baru dalam era sekarang memandangkan cara kerja dulu dan kini tidak sama kerana perubahan undang-undang, teknologi serta pengetahuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 1:47 PM
MIZI bertugas sebagai  pegawai navigasi yang bertanggungjawab memastikan kapal selamat sampai ke destinasi. FOTO Ihsan Mizi Al Hafiz
MIZI bertugas sebagai pegawai navigasi yang bertanggungjawab memastikan kapal selamat sampai ke destinasi. FOTO Ihsan Mizi Al Hafiz