Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu usaha menoktahkan kemiskinan dalam kalangan rakyat luar bandar dipertingkatkan selaras dengan sasaran ditetapkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebagai kementerian bertanggungjawab perlu melaksanakan perancangan serta program yang lebih berkesan untuk kumpulan sasar.

"Saya berharap sasaran untuk menoktahkan miskin tegar dapat dilaksanakan tetapi kita jangan lupa kepada penduduk bandar yang dipanggil sebagai 'urban poverty' (miskin bandar).

"Itu biarlah agensi lain melaksanakannya sementara kita di KKDW perlu menterjemahkan dan melaksanakan apa yang disasarkan Perdana Menteri," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, warga kementerian serta agensi di bawahnya diminta supaya tidak menghiraukan segala kritikan dilemparkan golongan 'anti establishment'.

Tegasnya, golongan itu akan sentiasa berada di mana-mana dan menolak apa sahaja usaha yang dilaksanakan.

Sementara itu, Ahmad Zahid mahu Felcra Berhad dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) meningkatkan usaha menambah pengeluaran ayam daging diusahakan mereka.

"Sekarang mereka berjaya keluarkan 250,000 ekor satu pusingan, kini saya cabar mereka tingkatkan kepada sejuta ekor," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 12:32 PM