JBPM menerbangkan dua unit dron dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa fenomena kepala air di Jeram Air Putih. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
JBPM menerbangkan dua unit dron dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa fenomena kepala air di Jeram Air Putih. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


Chukai: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu menerbangkan dua unit dron dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa fenomena kepala air di Jeram Air Putih, di sini.

Pengarahnya Hassan As'ari Omar berkata, penggunaan aset berkenaan dapat membantu pasukan penyelamat membuat pemantauan dalam mengesan mangsa tragedi berkenaan.

Beliau berkata, dua unit dron dari Unit Udara JBPM serta Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur itu akan menilai risiko dalam misi pencarian yang dilaksanakan sejak kelmarin.

"Penggunaan dron ini kita fokus di sektor B dan C sebab saya dimaklumkan ada tanda-tanda objek yang melintasi kebun jagung yang berada di Kampung Seberang Tayor Hilir ke arah muara Kemaman.

"Dron ini sangat penting kerana kita boleh melihat daripada atas keadaan sungai, risiko yang ada dan objek-objek yang kita nampak.

"Jadi kita boleh fokus kepada objek tersebut dan daripada situ, kita boleh hantar berita (maklumat) ini kepada pasukan penyelamat untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau pasukan dron di tebing sungai di Kampung Seberang Tayor Hilir, di sini, hari ini.

Ketika ini, dua lagi mangsa iaitu Putri Nor Fatin Karim, 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24, masih belum ditemui.

Manakala, lapan mangsa iaitu Karim Abdullah, 39; Azizah Eiyi, 40; Putri Balqis Izzati, 18; Putri Alleya Maisarah, 16; Muhammad Zulqarnain Haikal, 11; Putri Nurerina Natasya, 10; Muhammad Haziq Ziqree, 6, dan Putri Aryana Umaira, 4, sudah ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 4:21 PM