Alias Abd Rani

Muar: Tiada 'abang besar' dalam Perikatan Nasional (PN) meskipun Pas mendapat jumlah kerusi lebih banyak daripada keseluruhan 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun Pas bertanding di 126 kerusi, faktanya ialah parti itu sudah lama wujud berbanding Bersatu serta mempunyai ramai penyandang di beberapa negeri.

Menurutnya, pembahagian kerusi itu mengambil kira kerusi penyandang yang mana Pas sudah berada di negeri tertentu sebelum ini terutama pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Kita tidak panggil abang besar, abang kecil. Saya Pengerusi Bersatu dan PN, dan disokong oleh Pas, tak kisah siapa yang memimpin asalkan kita mempunyai azam dan perjuangan yang sama.

"Fakta bahawa Pas mempunyai kerusi lebih banyak, itu nyatalah kerana sebelum kami (Bersatu) wujud pun, Pas sudah lama wujud, Pas sudah menguasai kerajaan di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

"Mereka juga ada kerusi di negeri lain. Tetapi kita rasa pembahagian adil, Pas lebih (kerusi) di tiga negeri, tapi di Selangor, Negeri Sembilan, Bersatu lebih (kerusi), begitu juga Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan 52 Lembu Korban Sempena Program Korban Perdana Parlimen Pagoh 2023 di Bukit Pasir, di sini, hari ini.

MUHYIDDIN Yassin ditemubual media selepas Program Korban Perdana Parlimen Pagoh 2023 di Bukit Pasir, di sini, hari ini. FOTO Alias Abd Rani
MUHYIDDIN Yassin ditemubual media selepas Program Korban Perdana Parlimen Pagoh 2023 di Bukit Pasir, di sini, hari ini. FOTO Alias Abd Rani

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, PN belum memutuskan calon bakal bertanding kerana gabungan terbabit baru selesai mengumumkan kerusi ditandingi membabitkan tiga parti iaitu Pas, Bersatu dan Gerakan.

Katanya, soal muka baharu atau lama akan diputuskan selepas membuat pertimbangan termasuk mengekalkan penyandang di kerusi Dun.

"Biasanya kita ambil pertimbangan mereka yang sudah ada dan kekal layak, mereka yang baharu sama ada pemuda atau wanita dan usia mereka akan diambil kira.

"Apa pun biasalah kita pastikan ada penyertaan yang adil atau sesuai oleh kategori kumpulan calon yang akan dikemukakan kepada kita," katanya.

PRN akan datang membabitkan 36 Dun di Kedah, Kelantan (45) dan Terengganu (32) yang berada di bawah pentadbiran PN, manakala Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36) iaitu negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Pas ketika ini menyandang 36 kerusi Dun di Kelantan, Terengganu (22), Kedah (15) manakala Selangor dan Pulau Pinang masing-masing satu kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 3:19 PM