FOTO Tular
FOTO Tular
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Penahanan seorang lelaki dalam kapal terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, dekat sini adalah berkaitan aktiviti along.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya sedang mengesan suspek yang disyaki terbabit dalam aktiviti along.

Menurutnya, hasil risikan pihaknya mendapat maklumat suspek berkenaan menaiki penerbangan dari utara tanah air ke negeri ini.

"Suspek lelaki berusia 28 tahun itu yang juga penumpang dalam penerbangan berkenaan kemudian ditahan sebaik tiba di lapangan terbang berkenaan kelmarin.

"Polis mengesan satu video tular di aplikasi TikTok membabitkan tangkapan seorang suspek dibuat polis di dalam sebuah kapal terbang.

"Ketika kejadian, polis sedang menjalankan tugas dan berjaya mengesan suspek," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, selain suspek, turut ditahan empat lagi rakannya yang berusia antara 21 hingga 30 tahun.

Katanya, semua suspek ditahan bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Semua suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan," katanya.

Raub turut menasihati orang ramai supaya tidak berasa gusar menonton video berkenaan yang tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 9:37 PM