Rakan sekerja menunjukkan Muhamad Hasnul Ramli menunjukkan gambar kenangan ketika arwah menerima anugerah APC minggu lalu. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Rakan sekerja menunjukkan Muhamad Hasnul Ramli menunjukkan gambar kenangan ketika arwah menerima anugerah APC minggu lalu. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Penunggang motosikal yang maut dalam kemalangan di Kilometer 19, Jalan Seremban-Simpang Pertang dekat Bukit Tangga, malam tadi merupakan pekerja cemerlang Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) Negeri Sembilan.

Allahyarham Muhamad Hasnul Ramli, 48, baharu sahaja menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada minggu lalu.

Rakan sekerja arwah, Sr Muhamad Fariz Absl Kamarul Azman berkata, Allahyarham adalah seorang pekerja yang berpengalaman dan sudah berkhidmat di jabatan itu selama 20 tahun.

Menurutnya, arwah adalah seorang yang rajin, tidak banyak cakap namun mesra dengan kawan-kawan selain seorang yang cepat belajar.

"Kali terakhir saya berjumpanya pada minggu lalu sempena APC dan arwah kelihatan gembira namun tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Jelebu di sini

Difahamkan, ketika kejadian Allahyarham Muhamad Hasnul dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai menjalankan tugas luar di Kampung Jeram Lesong di sini.

Sementara itu, kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang turut maut dalam kejadian itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seperi di sini, tengah hari tadi.

Bapanya, Koperal Mohd Hariz Shakirin Mohd Yusof berkata, ketika kejadian dia bersama isteri dan dua anak lelaki berusia enam dan tiga tahun dalam perjalanan pulang ke Kuala Klawang selepas membeli barang keperluan di Seremban.

Sedih dengan kejadian itu, dia sempat mengeluarkan anaknya di dalam kereta sebaik kemalangan sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Jelebu," katanya yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 4:36 PM