Polis menjumpai 11 ketulan mampat disyaki ganja cuba diseludup ke negara ini menerusi ‘laluan tikus’ di sekitar pagar sempadan Malaysia-Thailand di Chuping, Padang Besar. FOTO IHSAN PDRM
Polis menjumpai 11 ketulan mampat disyaki ganja cuba diseludup ke negara ini menerusi ‘laluan tikus’ di sekitar pagar sempadan Malaysia-Thailand di Chuping, Padang Besar. FOTO IHSAN PDRM
Oleh Aizat Sharif


Padang Besar: Sebelas bungkusan ketulan mampat disyaki ganja bernilai RM34,100 yang cuba diseludup ke negara ini dirampas polis di sekitar pagar sempadan Malaysia-Thailand di Chuping di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, pada kejadian 2.30 pagi itu, tujuh anggota Batalion 1, Pasukan Gerakan Am (PGA) sedang melakukan rondaan di sekitar ladang getah berhampiran lokasi berkenaan.

"Pasukan rondaan kemudiannya mendapati seorang lelaki yang menunggang motosikal berhenti berhampiran pagar keselamatan Malaysia-Thailand.

"Menyedari gerak-gerinya diperhatikan, lelaki terbabit melarikan diri. Pemeriksaan menemukan guni berisi bungkusan terbabit seberat kira-kira 11 kilogram," katanya hari ini.

Barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 12:28 PM