Muhaamad Hafis Nawawi


Serdang: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki mendedahkan tiada sebarang campur tangan ahli politik atau kerajaan ketika SPRM masih dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Beliau berkata, Allahyarham Tan Sri Harun Hashim yang juga pengarah pertama BPR pernah menceritakan bahawa beliau tidak pernah diganggu sekiranya siasatan dijalankan oleh pegawainya.

Menurutnya, beliau juga mengimpikan situasi sama terjadi dalam kepimpinannya hari ini, khususnya apabila kontraknya selama setahun disambung.

"Sekitar 1997, saya bertemu Tan Sri Harun dan beliau katakan isu membanteras rasuah tidak boleh dilakukan sekiranya tiada iltizam politik. Tiada apa yang boleh dilakukan sekiranya ahli politik tiada iltizam (untuk membanteras rasuah) sebaliknya salah guna kuasa akan berlaku.

"Dulu pada 1967 (penubuhan BPR), beliau (Harun) kata beliau tidak diganggu oleh ahli politik, malah kerajaan juga tidak langsung ganggu atau mengacau-bilaukan. Tun Dr Ismail (Abdul Rahman) (Timbalan Perdana Menteri) yang menubuhkan BPR ketika itu juga perlu dicontohi dalam kepimpinan memerangi rasuah kerana tidak membenarkan kerajaan campur tangan.

"Oleh demikian, sepanjang setahun saya disambung kontrak ini, saya amat berharap iltizam (ahli politik) itu berlaku dan menjadi satu kenyataan, untuk kita semua," katanya ketika berucap dalam Perasmian Mesyuarat Agung Tri Tahunan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden MCW Jais Abdul Karim.

Mengulas mengenai Kerajaan Perpaduan, Azam berkata, beliau mengalu-alukan semangat dan iltizam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membanteras rasuah.

"Saya melihat kepimpinan beliau yang bersemangat dan percaya, menerusi cara sedemikian, dengan segera kita mampu mengurangkan rasuah," katanya.

Beliau berkata, MCW sebagai badan bukan kerajaan yang memperjuangkan isu pencegahan rasuah perlu bertindak lebih proaktif termasuk menegur dan memberi pandangan kepada SPRM.

"Saya yakin, banyak lagi idea-idea baharu yang kita dapat fikirkan bersama dalam memastikan perjuangan kita membanteras rasuah berhasil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 4:23 PM