ABANG Johari hadir mengucapkan selamat jalan kepada kumpulan pertama daripada 936 jemaah haji Sarawak yang akan menunaikan Rukun Islam Kelima, tahun ini. FOTO Nadim Bokhari.
ABANG Johari hadir mengucapkan selamat jalan kepada kumpulan pertama daripada 936 jemaah haji Sarawak yang akan menunaikan Rukun Islam Kelima, tahun ini. FOTO Nadim Bokhari.
Mohd Roji Kawi


Kuching: "Syukur alhamdulillah, impian untuk menunai fardu haji ketika usia masih muda akhirnya tercapai," kata Hawari Hanafi, 26.

Guru berasal dari Tumpat, Kelantan itu berkata, pada mulanya dia tidak menyangka akan terpilih menunaikan rukun Islam kelima itu tahun ini.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana rayuan untuk menunaikan fardu haji bersama isterinya diterima bulan lalu.

"Sebenarnya hanya isteri saya sahaja yang menerima tawaran untuk mengerjakan fardu haji tahun ini.

"Saya pula yang baru mendaftar bulan lalu dan membuat rayuan untuk pergi bersama isteri sebagai mahram," katanya yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bedaun, Labuan.

Sementara itu, isterinya Nur Syafiqa Mohd Farid Ariffin, 27, yang berasal dari Bintangor, Sarikei pula berkata, sudah mendaftar untuk menunaikan haji pada 2008 dan gembira terpilih untuk menunaikannya tahun ini.

"Perasaan memang gembira tidak terkata dan lebih bermakna apabila saya pergi bersama suami, ibu bapa dan adik," katanya yang bertugas sebagai guru di SK Sungai Lada, Labuan.

Hawari dan Nur Syafiqa adalah antara 142 jemaah kumpulan pertama dari Sarawak yang memulakan perjalanan ke Tanah Suci, malam ini.

Mereka berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Lapangan Terbang Antarabanga Kuching (LTAK) menaiki penerbangan 'feeder' pada 11.20 malam.

Bakal jemaah haji itu kemudiannya akan meneruskan penerbangan dengan menaiki pesawat MH8166 dari KLIA ke Jeddah pada 4.40 pagi esok (Khamis).

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, hadir mengucapkan selamat mengerjakan ibadah haji kepada bakal jemaah itu di Raia Hotel & Convention Centre.

Seramai 936 orang terpilih untuk menunaikan fardu haji dari Sarawak tahun ini berbanding hanya 397 orang tahun lalu.

Sebanyak lima penerbangan membawa bakal jemaah haji Sarawak ke KLIA mulai hari ini hingga Sabtu ini sebelum mereka meneruskan penerbangan menaiki pesawat sewa khas ke Jeddah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 10:52 PM