ASISTEN Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid. FOTO  Amirudin Sahib
ASISTEN Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid. FOTO Amirudin Sahib
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Petaling Jaya: Perselisihan berkaitan status hubungan dipercayai menjadi punca bekas pemain bola sepak kebangsaan menyerang kekasihnya baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek yang juga pemain sebuah pasukan Liga Super itu memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis.

"Motif dipercayai disebabkan salah faham berkaitan hubungan antara kedua-dua suspek.

"Polis sedang dalam proses melengkapkan kertas siasatan dan masih tunggu laporan perubatan.

"Kita tak boleh dedah secara terperinci perselisihan berkenaan kerana sedang siasat daripada pelbagai sudut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini hari ini.

Semalam Harian Metro melaporkan, bekas pemain bola sepak kebangsaan ditahan kerana disyaki menyebabkan kecederaan kepada teman wanitanya di sebuah hotel, semalam.

Pemain bola sepak itu dikatakan mahu bertunang dan ia dipercayai menjadi punca pergaduhan hingga menyebabkan suspek bertindak mencederakan kekasihnya.

Difahamkan kekasih pemain bola sepak terbabit yang juga seorang doktor menemui lelaki berkenaan sebaik mengetahui perkara itu sebelum berlaku pertengkaran.

Katanya, wanita terbabit cuba memujuk pemain bola sepak itu namun lelaki itu bertindak kasar dengan dengan memukul, mencekik dan menggigit lengan sebelum mencampaknya ke lantai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 2:46 PM